Sabah bina 3,000 buah Rumah Mesra SMJ tahun depan - Hajiji
Bernama
Oktober 19, 2024 05:45 MYT
Oktober 19, 2024 05:45 MYT
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membina 3,000 buah rumah melalui Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) tahun depan di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pembinaan rumah itu melibatkan kos sebanyak RM250 juta.
"Program ini dilaksanakan bagi membantu rakyat yang menghadapi kesusahan dan memerlukan rumah kediaman," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program MADANI Rakyat 2024: Sayangi Sabah di pekarangan Stadium Likas di sini pada Sabtu.
Program itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan Sabah.
inisiatif Rumah Mesra SMJ dilancarkan oleh kerajaan negeri pada tahun 2022 bagi memberikan rumah bernilai RM80,000 secara percuma kepada penduduk, terutamanya di luar bandar yang berada dalam kemiskinan dan memastikan penyediaan rumah mampu milik untuk mereka.
Mengenai Program MADANI Rakyat 2024: Sayangi Sabah, Hajiji berkata ia memperlihatkan usaha kerajaan untuk memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat meliputi beberapa inisiatif untuk membantu mengurangkan beban hidup golongan kurang bernasib baik termasuk program menoktahkan kemiskinan tegar.
"Program murni ini berpaksikan kepada keperluan dan kemudahan yang disediakan kerajaan selaras dengan objektifnya, antara lain untuk menyebarluaskan dan mempromosikan dasar-dasar serta inisiatif baharu yang disediakan untuk rakyat, meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap hala tuju dan pembangunan kerajaan," katanya.
-- BERNAMA