Sabah berpotensi jadi penyumbang utama bekalan makanan negara - Timbalan menteri

Abdul Hafiz Mustadi
Disember 29, 2022 18:59 MYT
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin (kiri) mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Menteri II Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
KOTA KINABALU: Berkeluasan 73,620 kilometer persegi dan merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak, Sabah dilihat berpotensi menjadi penyumbang utama makanan negara berdasarkan geografi negeri itu.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, penggunaan teknologi baharu dalam aktiviti pertanian akan meningkatkan produktiviti masyarakat tani selain kementeriannya akan memfokuskan perkara itu bagi membantu Kerajaan Negeri Sabah memenuhi potensi tersebut.
"Sabah adalah bumi bertuah yang dikurniakan tanah yang luas dan subur selain kawasan perairan yang luas, menjadikan wilayah ini sebagai salah satu penggerak penting dalam menampung bekalan dalam negara.
"Penggunaan teknologi terkini, termasuk kaedah-kaedah pertanian moden akan menjadi tumpuan dalam jangka masa sederhana bagi meningkatkan produktiviti masyarakat tani," ujar Foong Hin dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Dalam pada itu, Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu turut berkata, satu perbincangan turut diadakan bersama Timbalan Ketua Menteri II Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan mengenai perkara tersebut.
Perbincangan yang dibuat sewaktu kunjungan hormat beliau kepada Jeffrey itu, katanya, bagi memastikan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dapat memainkan peranan dengan lebih baik dalam membantu Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah mencapai aspirasi itu.
"Pertemuan ini membincangkan potensi terpendam Sabah sebagai penyumbang besar bagi memastikan bekalan makanan negara terus terjamin dan peranan yang dapat dimainkan MAFS bagi membantu Kerajaan Sabah memenuhi potensi tersebut," kata Foong Hin lagi.
#Sabah #bekalan makanan negara #Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #chan foong hin
;