Sabah berjaya capai sasaran 40 peratus kadar vaksinasi

Syafik Shukri Jalil
September 1, 2021 19:06 MYT
Menurut Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, Sabah kini menghampiri 60 peratus penduduk dewasa yang menerima satu dos suntikan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sabah berjaya mencapai sasaran 40 peratus kadar vaksinasi melibatkan populasi dewasa di negeri itu pada Selasa.
Menurut Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, Sabah juga kini menghampiri 60 peratus penduduk dewasa yang menerima satu dos suntikan.
''Semalam, semua negeri di Malaysia termasuk Sabah berjaya mencapai sasaran nilai ambang 40 peratus vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa di bawah Pelan Pemulihan Nasional (PPN),'' katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Sementara itu, sejumlah 2,430 kes positif COVID-19 baharu dilaporkan dengan Kota Kinabalu kekal menyumbang angka tertinggi dengan 622 kes.
Selain itu, berlaku juga peningkatan kes positif di beberapa daerah termasuk di Kinabatangan, Kudat, Pitas dan Kota Belud.
''652 merupakan Kategori Satu, 1,732 kes Kategori Dua, 24 kes Kategori Tiga, lima kes Kategori Empat dan 13 kes Kategori Lima.
''1,030 merupakan kes daftar lewat antara dua ke tiga hari, 221 antara empat ke lima hari dan 274, keputusan sampel ujian yang didaftar lewat lebih lima hari,'' tambahnya.
BACA: Sabah harap capai 40 peratus kadar vaksinasi menjelang 31 Ogos ini
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berharap dan meletakkan sasaran 40 peratus populasi dewasa di negeri itu menerima vaksin menjelang 31 Ogos 2021.
#COVID-19 di Sabah #kadar vaksinasi di Sabah #kes tertinggi di Sabah #nilai ambang nasional
;