Sabah benarkan kemasukan pelancong dari Brunei - Masidi

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 9, 2020 19:36 MYT
Datuk Seri Masidi Manjun berkata susulan kejayaan negara itu membendung penularan wabak COVID-19 sejak tujuh bulan lalu menjadi salah satu sebab kebenaran tersebut diumumkan. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membenarkan kemasukan pelancong dari Brunei ke negeri itu berkuat kuasa serta merta.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata susulan kejayaan negara itu membendung penularan wabak COVID-19 sejak tujuh bulan lalu menjadi salah satu sebab kebenaran tersebut diumumkan.
Bagaimanapun, kesemua warga negara terbabit masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah.
"Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini telah bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri untuk membenarkan pelancong dari negara Brunei Darussalam masuk ke negeri Sabah melalui jalan darat dan udara.
"Pengembara dari negara tersebut juga akan tertakluk kepada syarat menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Antigen tiga hari sebelum perjalanan sebagaimana yang ditetapkan dalam SOP PKPB Sabah.
"Keputusan ini adalah memandangkan negara Brunei Darussalam tidak termasuk dalam senarai 23 buah negara yang disekat kemasukan ke Malaysia dan setelah melihat kepada kejayaan negara itu mengekalkan sifar kes COVID-19 sejak tujuh bulan lalu.
"Secara tidak langsung langkah ini juga dijangka dapat merancakkan sektor ekonomi negeri Sabah," katanya menerusi sidang media maya di Kota Kinabalu pada Rabu.
Dalam sidang media tersebut Masidi memaklumkan berlaku penurunan kes pada Rabu iaitu sebanyak 68 kes berbanding yang direkodkan pada selasa iaitu sebanyak 271 kes.
"Jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 203 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 31,260 kes.
"Dua kes kematian dicatatkan iaitu masing-masing satu di daerah Tuaran dan Sandakan.
"Pada hari ini juga terdapat satu kluster baharu di daerah Penampang iaitu Kluster Kupi-Kupi yang mencatatkan satu kes menjadikan kumulatif 12 kes dan kluster ini dikesan melalui saringan di sebuah kedai makan," katanya.
Tambahnya, kerajaan memutuskan perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Telipok Ria, Tuaran selama 14 hari lagi sehingga 24 Disember 2020.
Sebelum ini PKPD dilaksanakan di kawasan terbabit bermula dari 27 November 2020 hingga 10 Disember 2020.
#Sabah #kemasukan pelancong #Brunei #Masidi Manjun #COVID-19 #prosedur operasi standard #SOP #Majlis Keselamatan Negara #MKN #PKP
;