Sabah benar pembukaan semula rumah ibadat bukan Islam

Eleanor Michelle Patrick
September 19, 2021 22:48 MYT
Tokong San Ching di Kota Kinabalu. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Sabah membenarkan pembukaan semula rumah ibadat bukan Islam dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) bermula jam 6 pagi hingga 8 malam, bermula esok.
Bagaimanapun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kehadiran penganut hanya 30 peratus daripada kapasiti ruang ibadat.
Jelasnya, semua ahli jawatankuasa atau petugas rumah ibadat dan penganut yang hadir juga perlu sudah lengkap vaksinasi, manakala kanak-kanak bawah 12 tahun tidak digalakkan hadir.
"Pengurusan rumah ibadat juga diminta menyediakan kaunter untuk pemeriksaan suhu badan dan merekod kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera atau Sabah Trace.
"Pemakaian pelitup muka diwajibkan sepanjang masa, mesti ada penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan dinasihatkan kerap mencuci tangan atau menggunakan 'hand sanitizer'.
"Penganut juga tidak dibenarkan berkumpul di luar rumah ibadat, bersalaman atau bersentuhan, selain tidak dibenarkan berkongsi peralatan sembahyang," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Masidi yang juga jurucakap COVID-19 di negeri ini berkata kebenaran itu adalah berdasarkan kemas kini SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua bagi negeri Sabah bertarikh 19 September.
Tambahnya, individu yang mencatat suhu badan 37.5 darjah Celsius dan ke atas tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat, manakala kelas keagamaan dan kebudayaan di dalam atau luar rumah ibadat juga tidak dibenarkan.
Selain itu, upacara pemberkatan perkahwinan di rumah ibadat bukan Islam turut dibenar diadakan bermula esok, namun ia adalah terhad selama dua jam dengan pematuhan SOP sama bagi kehadiran penganut ke rumah ibadat.
Beliau berkata, hanya pengagihan makanan berbungkus dibenarkan, namun tidak dibenarkan makan di dalam atau luar rumah ibadat.
Sementara itu, Sabah hari ini mencatatkan 1,356 kes baharu, dengan 35 lagi kematian dilaporkan di seluruh negeri.
Daripada jumlah itu, sebanyak 14 kes dilaporkan di Sandakan, diikuti sembilan kes di Kota Kinabalu, tiga kes di Keningau, masing-masing dua kes di Putatan dan Lahad Datu, manakala Kunak, Ranau, Tawau, Penampang dan Nabawan masing-masing mencatat satu kes.
#Sabah #rumah ibadat #Masidi Manjun #SOP ketat
;