Sabah benar akad nikah namun tiada persandingan - Menteri
Ridzal Abdullah
November 12, 2020 21:14 MYT
November 12, 2020 21:14 MYT
KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEINS) membenarkan upacara akad nikah dan pendaftaran perkahwinan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Arif berkata apa yang tidak boleh dilaksanakan ketika ini adalah majlis persandingan.
Beliau juga berkata, segala urusan pernikahan perlu dilakukan di pejabat JHEINS dan bukannya di masjid atau rumah.
"Sudah lama boleh... tapi ikut SOP dan upacara akad nikah dibuat di pejabat JHEINS. Di masjid tidak boleh," jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa sidang media pelancaran SOP perkahwinan bagi pasangan muslim di negeri itu pada Khamis di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).
Namun begitu, Mohd Ariffin memberitahu kursus praperkahwinan perlu diadakan secara dalam talian atau secara temu duga.