Sabah bakal tubuh Majlis TVET negeri
Bernama
Ogos 17, 2024 05:00 MYT
Ogos 17, 2024 05:00 MYT
KINABATANGAN: Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan ditubuhkan selewat-lewatnya awal tahun hadapan di Sabah, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Beliau berkata penubuhan majlis berkenaan adalah penting bagi memperkasakan pelaksanaan program TVET dan juga berkaitan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di negeri itu.
"Ketika ini kita (kementerian) sedang membuat kertas kerja untuk dikemukakan ke kabinet negeri agar Sabah selewat-lewatnya awal tahun hadapan akan ada Majlis TVET Negeri Sabah.
"Kita sudah ada Jawatankuasa Sains Negeri Sabah dan kita akan pacu dua jawatankuasa ini untuk memperkasa TVET dan STEM di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Festival Pendidikan STEM dan TVET peringkat negeri Sabah di sini pada Sabtu.
Mohd Arifin berkata Majlis TVET Negeri Sabah akan dianggotai wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Universiti Malaysia Sabah selain tokoh serta pakar dalam bidang TVET.
"Saya ada bincang dengan Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) mengenai perkara ini," katanya lagi.
Mohd Ariffin berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serius mengambil pendekatan kerjasama dengan rakan strategik bagi menarik minat pelajar sekali gus merealisasikan sasaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Sasaran KPM mencapai nisbah 60:40 pelajar sains berbanding sastera atau sains sosial pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi, dan Sabah seiring dengan sasaran KPM," katanya lagi.
Sementara itu, beliau berharap Festival Pendidikan STEM dan TVET dapat membuka mata semua sekolah bagi mempromosi keunikan bidang STEM serta TVET secara holistik dengan mengadakan program yang unik serta mudah difahami warga sekolah terutama pelajar.
-- BERNAMA