Sabah bakal lancar program Sabah Malaysia My Second Home

Abdul Hafiz Mustadi
September 19, 2022 12:12 MYT
Hajiji berkata Kabinet negeri telah meluluskan program SMM2H untuk dilancarkan sebaik beberapa perincian terakhir diputuskan.- Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Program Sabah Malaysia Rumah Keduaku (SMM2H) yang akan dilancarkan dalam masa terdekat menyasarkan menarik kemasukan warga asing untuk menetap di negeri itu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, langkah tersebut bakal mewujudkan kesan positif terhadap pembangunan ekonomi Sabah selari dengan usaha kerajaan negeri dalam menarik kemasukan pelaburan asing.
Menurutnya, kabinet negeri telah meluluskan pelancaran program SMM2H selepas penelitian akhir dilakukan.
“Program Sabah tidak akan mengikut keperluan baharu yang ditetapkan oleh Malaysia My Second Home (MM2H) Persekutuan.
"Dengan SMM2H, kami berhasrat untuk menjadikan Sabah lebih menarik kepada warga asing yang ingin berpindah dan menetap di Sabah.
“Kami berharap dapat melihat warga asing dan bakat bernilai tinggi berpindah ke Sabah, dan mencipta spin-off ekonomi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, Sabah terus menjadi negeri ketiga mencatatkan hasil kutipan pelaburan asing tertinggi di Malaysia dengan nilai RM9.9 bilion.
Jumlah tersebut direkodkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bermula Januari sehingga September 2022.
Hajiji berkata usaha menarik pelaburan asing ke dalam negeri itu akan diteruskan oleh kerajaan selain memberi jaminan kemudahan urusan kepada pelaburan luar yang ingin masuk ke dalam negeri tersebut.
"Sabah akan mendorong momentum ini dan kami yakin negeri ini akan terus menjadi destinasi menarik untuk pelaburan.
"Selain itu, Sabah mahu menjadi negeri mesra pelabur dan kerajaan negeri akan memudahkan halangan pelaburan," katanya.
#Sabah Malaysia My Second Home #Hajiji Noor #SMM2H #warga asing berhijrah
;