Sabah bakal jadi hab pengeluar produk burung walit dunia - Jeffrey

Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 12, 2020 14:19 MYT
Jeffrey (tengah) bercakap kepada media sewaktu mengadakan pertemuan bersama pemain industri burung walit di Inanam pada Khamis. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Sabah akan menjadi hab kepada pengeluaran dan pemasaran produk burung walit dunia.
Misi itu akan direalisasikan melalui Lembaga Burung Walit Sabah yang akan diterajui taikun burung walit di negeri itu.
Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata lembaga khas tersebut akan ditubuhkan selewat-lewatnya pada Mac 2021.
"Industri burung walit di Sabah ini mempunyai potensi yang begitu besar tetapi kita belum ada satu badan khas untuk menjaga industri walit ini.
"Oleh itu kementerian akan menubuhkan satu Lembaga Burung Walit Sabah dan lembaga ini akan mengurus dan menetapkan peraturan-peraturan industri burung walit ini.
"Untuk kita berjaya, kita mesti ada satu anchor atau taikun pengeluar burung walit dan kita sudah mengenal pasti anchor ini dan kita akan pastikan lembaga ini mempunyai akta perundangan yang memberikan kuasa kepada lembaga ini," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama pemain industri burung walit di Inanam pada Khamis.
Menurutnya, dengan tertubuhnya lembaga khas itu nanti semua pengeluar produk burung walit akan berada di bawah satu bumbung dan proses pemasaran di peringkat global akan lebih rancak.
"Melalui lembaga ini nanti, semua pengeluar-pengeluar produk burung walit sama ada yang kecil mahupun yang besar akan dapat kita selaraskan.
"Kita akan selaraskan aspek pemprosesan agar ia menepati piawaian untuk pemprosesan dan pemasaran di seluruh dunia," katanya.
#Sabah #hab pengeluaran #produk burung walit #burung walit #sarang burung #Jeffrey Kitingan #lembaga burung walit sabah #bisnes
;