Sabah arah sekolah diisyitihar kluster COVID-19 ditutup serta-merta

Eleanor Michelle Patrick
Januari 28, 2022 22:51 MYT
Jurucakap berkaitan COVID-19 negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah, pada 26 Januari lalu. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Sabah mengarahkan penutupan terhadap sekolah yang diisyitihar sebagai kluster COVID-19, berkuat kuasa serta-merta.
Jurucakap berkaitan COVID-19 negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah, pada 26 Januari lalu.
Menurutnya, tempoh pelaksanaan penutupan adalah selama dua hingga tiga minggu tertakluk kepada pengesahan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
"Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa sejak 1 Januari 2022 sehingga 26 Januari 2022, terdapat sejumlah enam Kluster Institusi Pendidikan aktif dan enam lokaliti di bawah pemantauan JKNS melibatkan fasiliti pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Ini telah mencetuskan kebimbangan dan menjadi agenda perbincangan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 26 Januari lalu, yang prihatin dengan laporan trend jangkitan COVID-19 yang berlaku di beberapa buah sekolah di negeri ini.
"Justeru, tindakan proaktif dan bersifat preventif perlu dilaksanakan dengan segera bagi membendung penularan COVID-19 di institusi pendidikan negeri Sabah dengan lebih luas," katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, setakat 28 Januari 2022, terdapat peningkatan kluster melibatkan Institusi Pendidikan di bawah seliaan KPM menjadikannya sepuluh berbanding laporan sebelum ini.
"Sesi pembelajaran bagi semua pelajar sekolah yang akan menghadapi peperiksaan utama boleh diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di kalangan pelajar termasuk guru dan kakitangan insitusi pendidikan berkenaan," katanya lagi.
Sementara itu, sebanyak 358 kes COVID-19 dilaporkan di Sabah pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 247,112 kes.
#kluster COVID-19 #Kluster Pendidikan #sekolah #penutupan #Masidi Manjun #Sabah
;