Sabah alu-alukan kenaikan peruntukan khas interim sementara tunggu tuntutan 40 peratus

Mirlen Axtius
September 12, 2024 19:00 MYT
Mesyuarat dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri itu turut dihadiri oleh Hajiji dan Abang Johari. - Gambar/ Astro AWANI
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik kenaikan peruntukan khas interim kepada RM600 juta untuk tahun depan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini, pada Khamis.
Hajiji dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengalu-alukan kenaikan interim itu sementara menunggu tuntutan 40 peratus hasil Sabah dilaksana dan diselesaikan.
"Ini merupakan satu pengiktirafan kepada keperluan pembangunan Sabah dan kuasa kehendak Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan tanggungjawab kepada negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khis.
Mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri itu turut dihadiri oleh Hajiji, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta beberapa barisan jemaah menteri Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Hajiji merakamkan penghargaan atas isu-isu di bawah MA63 yang telah pun diselesaikan termasuk penyerahan kuasa kawal selia dalam mengurus elektrik dan tenaga boleh diperbaharui kepada Sabah awal tahun ini serta penurunan kuasa.
“Saya harap semua isu yang belum selesai akan diusahakan dan dilaksanakan demi kebaikan kedua-dua pihak," tegasnya.
#Sabah #MA63 #peruntukan khas interim #Hajiji Noor
;