Sabah akan pastikan projek Jendela dilaksanakan dengan lancar - Hajiji

Astro Awani
Disember 2, 2020 19:05 MYT
Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (kiri), berkata pada masa ini, liputan telekomunikasi digital di Sabah masih ketinggalan, dengan banyak tempat masih dalam keadaan 'gelap' tanpa penerimaan internet. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memastikan projek pembangunan di bawah Jaringan Digital Nasional (Jendela), satu usaha untuk memperluas liputan 4G dan meningkatkan kelajuan internet di Sabah, dapat dilaksanakan dengan lancar.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia kerana pada masa ini, liputan telekomunikasi digital di Sabah dilihat ketinggalan dengan beberapa kawasan masih dalam keadaan 'gelap' tanpa penerimaan internet.
“Sebahagian (di Pitas) terpaksa memanjat pokok hanya untuk mendapatkan liputan internet dan ada juga kes di Kampung Gusi, Ranau yang mana beberapa pelajar cedera apabila jambatan (gantung) terputus ketika mereka berkumpul untuk mendapatkan liputan internet.
"Oleh itu, Jendela adalah inisiatif yang sangat baik oleh Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana Sabah amat memerlukan liputan telekomunikasi yang lebih baik," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Hajiji berkata demikian selepas memdengar taklimat oleh Pengerusi SKMM, Dr Fadhullah Suhaimi Abdul Malek menerusi sidang video mengenai program Jendela di Pusat Pentadbiran Negeri (PPNS) di sini.
Hajiji turut dimaklumkan bahawa Jendela akan dilaksanakan dalam dua fasa yang membabitkan pembinaan 41 menara telekomunikasi baharu, menaik taraf 924 stesyen pangkalan yang ada menerusi program Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) kepada 4G.
Sementara itu sebanyak 35 menara baharu dan 1,048 stesyen pangkalan di menara sedia ada juga akan ditingkatkan secara komersial oleh penyedia perkhidmatan untuk meningkatkan liputan 4G di negeri ini.
Sebanyak 190,115 premis di negeri ini juga akan diberi akses ke gentian optik. Kesemua projek ini dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Sementara itu, Hajiji turut meminta SKMM agar berhubung terus dengan pejabat Ketua Menteri sekiranya mereka menghadapi masalah yang mengganggu proses pelaksanaan program itu.
Program Jendela yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada 29 Ogos lalu, adalah rancangan pembangunan infrastruktur digital selama lima tahun yang akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025), yang bertujuan memenuhi keperluan penyambungan digital dan mempersiapkan negara untuk peralihan secara beransur-ansur ke teknologi 5G.
Sidang video itu turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan dan Pengarah SKMM Sabah dan Labuan, Izani Othman.
#Hajiji Noor #negeri Sabah #liputan 4G #Jaringan Digital Nasional #JENDELA #rangkaian Internet #Internet #teknologi #COVID-19 #pelajar #telekomunikasi digital
;