Sabah akan bincang kriteria PKPD dengan MKN esok

Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 9, 2020 22:09 MYT
Datuk Seri Masidi Manjun berkata beliau sendiri akan memohon perkara tersebut untuk penilaian pihak terbabit pada Selasa. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah akan meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menilai semula kriteria yang ditetapkan di dua kawasan di negeri itu yang kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata beliau sendiri akan memohon perkara tersebut untuk penilaian pihak terbabit pada Selasa.
Beliau merujuk kepada dua kawasan iaitu di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah, Lahad Datu yang diletakkan di bawah PKPD bermula 13 Oktober 2020 sehingga 26 Oktober 2020 yang kemudian dilanjutkan lagi sehingga 9 November 2020.
"Saya memahami perasaan mereka yang terkurung lama ini.
"Kedua saya juga mengambil kira perakuan dan laporan dari jabatan kesihatan atau KKM dan apa yang kita akan buat ialah, esok saya akan meminta MKN Sabah serta jabatan kesihatan untuk menilai semula keadaan di situ dan kita akan laporkan dalam mesyuarat MKN yang seterusnya.
"Buat sementara waktu, saya harap semua penduduk bertenang dan saya fikir apa pun keputusan yang dibuat adalah mengambil kira kebaikan secara keseluruhan," katanya dalam sidang media maya yang diadakan di Kota Kinabalu pada Isnin.
Masidi berkata demikian sebagai mengulas isu bantahan oleh penduduk di kedua-dua kawasan terbabit pada petang Isnin.
BACA: Keadaan di PPR Mutiara Kasih, Taman Khazanah Indah terkawal
BACA: COVID-19 di Sabah: Tiada sampel tertunggak, angka positif masih tinggi
Tambahnya, beliau yakin dengan keputusan yang telah dibuat hingga membawa kepada pelanjutan tempoh PKPD terbabit dan bukan bertujuan untuk menyusahkan penduduk sebaliknya atas faktor kesihatan.
"Kita kena faham bahawa kita sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 yang cukup hebat dan menggerunkan serta Sabah merupakan negeri yang paling terkesan dengan penularan wabak ini.
"Buat sementara waktu kita tunggu penilaian pihak berkenaan," ujarnya.
Jelasnya lagi, berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM, masih terdapat peningkatan kes positif COVID-19 di kedua-dua lokaliti tersebut.
Atas nasihat KKM, Sidang Khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPD di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah, Lahad Datu selama 14 hari bermula 10 November 2020 sehingga 23 November 2020.
#PKPD #Lahad Datu #Sabah #Pangsapuri Mutiara Kasih #Taman Khazanah Indah #Masidi Manjun #COVID-19 #KKM #MKN
;