Saarani seru rakyat Perak sumbang kepada Tabung Kemanusiaan Palestin

Abd Razak Mohd Ali
November 8, 2023 10:00 MYT
Pada 13 Oktober lalu, Perak melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin bertujuan mengutip dana bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman Israel.
IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menyeru seluruh rakyat khususnya di Perak, untuk terus menyumbang bagi sama-sama meringankan derita rakyat Palestin.
Menurutnya, setiap ringgit yang disumbangkan, memberi makna yang besar buat mereka yang sedang diuji dengan dugaan yang sangat berat dan dahsyat.
“Mereka sangat memerlukan pertolongan ketika ini. Jangan kita biar mereka berjuang sendirian,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook miliknya hari ini.
Saarani berkata, hari ini sudah genap sebulan Gaza bermandi darah angkara serangan Zionis.
Difahamkan, lebih 10,000 nyawa yang terkorban setakat ini manakala bumi para anbia itu terus berdepan kemusnahan yang amat dahsyat.
Di samping itu, ujarnya, sekurang-kurangnya 14 jiwa, termasuk anak-anak kecil, dilaporkan mati setiap jam akibat serangan demi serangan tidak berperikemanusiaan.
“Bekalan air dan jaringan sektor kesihatan semakin lumpuh apabila hospital-hospital turut menjadi sasaran serangan,” tambahnya.
Pada 13 Oktober lalu, Perak melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin bertujuan mengutip dana bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel.
Sebagai permulaan, Saarani mengumumkan kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) menyediakan dana RM100,000 untuk disalurkan ke dalam tabung berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan jabatan dan agensi, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai untuk sama-sama menyumbang ke dalam tabung tersebut.
Menurutnya, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam Bendahari Negeri Perak bernombor 08013010064660 dengan menyatakan ‘Tabung Palestin’ di ruangan perihal atau rujukan.
#Saarani Mohamad #Palestin #sumbangan #Tabung Kemanusiaan Palestin
;