Saarani mula tugas sebagai Menteri Besar Perak

Abd Razak Mohd Ali
Disember 11, 2020 01:00 MYT
Saarani memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Perak yang baharu pagi ini. -Astro AWANI
IPOH: Datuk Saarani Mohamad memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Perak yang baharu pagi ini.
Beliau yang berpakaian baju Melayu hijau tiba di Anjung Bangunan Perak Darul Ridzuan kira-kira jam 8.45 pagi disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Hadir sama Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulazlan Abu Hassan.
Upacara ringkas dimulakan dengan bacaan doa diikuti dengan sesi bergambar bersama ketua-ketua jabatan negeri.
Beliau kemudiannya mengimbas kad perakam waktu di pintu masuk pejabat pada jam 9 pagi sebelum memasuki bilik pejabatnya.
Menteri Besar kemudiannya mengadakan sidang media di Dewan Bankuet selepas diberi taklimat ringkas di pejabatnya.
#Saarani Mohamad #Ahmad Suaidi Abdul Rahim #Menteri Besar Perak #tugas rasmi #Anjung Bangunan Perak Darul Ridzuan #Zulazlan Abu Hassan