Saarani angkat sumpah MB Perak ke-14

Harits Asyraf Hasnan
Disember 10, 2020 11:23 MYT
Saarani mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak dan Ahli Dewan Negara Perak, di hadapan Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA KANGSAR: Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada jam 11.20 pagi ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu menerima watikah pelantikan daripada Sultan Nazrin pada Istiadat Kurniaan Tauliah Lantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, di sini.
Selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak, Saarani, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri kemudian mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara Perak, juga di hadapan Sultan Nazrin.
Beliau kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Suaidi Abdul Rahim.
Sultan Nazrin berkenan melantik Saarani sebagai menteri besar setelah beliau mendapat kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dibuat berpandukan Perkara XVI Fasal 2 (a) Undang undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.
Saarani, 59 tahun, adalah anak kelahiran Lenggong, Perak, dilahirkan pada 13 Mac 1961.
Beliau mendirikan rumah tangga bersama Datin Aezer Zubir yang merupakan pesara guru, dan dikurniakan lapan orang cahaya mata.
BACA: [LAPOR LANGSUNG]: Saarani MB baharu Perak
BACA: Saarani: Bermula sebagai pendidik, kini menteri besar
Saarani yang memperoleh Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kemudian melanjutkan pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan sumber manusia di Open University Malaysia (OUM).
Beliau yang menjadi ADUN Kota Tampan selama empat penggal itu pernah berkhidmat bersama tiga Menteri Besar Perak terdahulu iaitu Tan Sri Tajul Rosli Ghazali, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ahli politik berpengalaman ini juga pernah menjadi Ketua Pembangkang di DUN Perak sewaktu Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negeri itu pada 2018.
#Saarani Mohamad #Sultan Perak #Menteri Besar #kerajaan #Pakatan Harapan #politik perak #surat pelantikan #watikah pelantikan #Ahli Dewan Negara #Perak #mendapat kepercayaan #DUN Perak #ADUN Kota Tampan
;