S Pay Global: Transaksi lebih mudah, penggunaan makin meluas di Sarawak
Munirah Mudzamli
November 13, 2021 16:44 MYT
November 13, 2021 16:44 MYT
KUCHING: Aplikasi dompet elektronik atau e-wallet Sarawak Pay yang kini dikenali sebagai S Pay Global digunapakai secara meluas di Sarawak sejak ia mula diperkenalkan.
Kemudahan baharu ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri Sarawak dalam memperkasakan dasar ekonomi digitalnya.
Bagi pengusaha kafe Seoulism, Winnie King, 29, penggunaan khidmat pembayaran S Pay Global amat memudahkan urusannya untuk memantau transaksi perniagaan.
"Saya lebih memilih untuk memakai pembayaran secara digital seperti S Pay Global, kerana ia lebih mudah.
"Para peniaga pun tidak perlu untuk memegang jumlah tunai yang banyak di kedai, jadi ia sangat selamat dan efisyen.
"Saya juga boleh memantau transaksi perniagaan di kedai, jadi tak perlu lagi untuk merekod setiap transaksi," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Sabtu.
Tambahnya, dengan penggunaan e-wallet ini, risiko kebarangkalian dijangkiti COVID-19 juga boleh dikurangkan.
"Dengan situasi kita sekarang, lebih baik dengan kaedah pembayaran tanpa tunai, supaya tiada pertukaran wang tunai dilakukan," katanya.
Sementara itu, bagi juruwang kafe Seoulism, Nur Afifah Hasmadi, aplikasi ini memudahkan transaksi pembelian lebih-lebih lagi yang melibatkan pemberian wang baki yang kadang-kadang boleh melambatkan perkhidmatan kafe tersebut.
"Kalau pelanggan bagi wang tunai, susah untuk sediakan duit baki, sebab kadang-kadang duit tidak cukup, jadi dengan adanya S Pay Global, urusan pun lebih mudah, pelanggang pun tidak perlu tunggu lama," katanya.
Bagi pengguna aplikasi, Nur Amanina Baihaki, aplikasi ini ia dapat mempercepatkan urusannya untuk mengurus pembayaran bil dan sebagainya.
"Saya selalunya menggunakan S Pay Global untuk urusan pembayaran bil telefon, dan juga seperti di kafe, dan bagi saya ia sangat menyenangkan kerana kini tidak perlu lagi beratur untuk mengeluarkan duit di mesin juruwang automatik," katanya.
S Pay Global telah dilancarkan pada 15 November 2017 oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Fokus utama aplikasi ini adalah untuk menggalakkan pengguna aplikasi pembayaran tanpa tunai.