A.S. Memilih: Tidak kira Trump atau Kamala, hubungan kita tetap kukuh - Duta AS ke Malaysia
Khalis Khadir
November 6, 2024 18:36 MYT
November 6, 2024 18:36 MYT
KUALA LUMPUR: Hubungan baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) kekal kukuh tidak kira siapa pun calon yang akan ke Rumah Putih.
Ringkasan AI
- Hubungan Diplomatik Kukuh: Hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) kekal kukuh dan tidak terjejas oleh perubahan calon presiden AS, dengan jalinan diplomatik yang telah terjalin lebih 65 tahun.
- Komitmen AS terhadap Indo-Pasifik: Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan, menekankan komitmen mendalam dan dwipartisan AS terhadap rantau Indo-Pasifik.
- Pengiktirafan Kedaulatan Malaysia: AS mengiktiraf Malaysia sebagai negara berdaulat dengan hak untuk menjalankan hubungan diplomatiknya sendiri, walaupun terdapat perbezaan pandangan mengenai hubungan dengan Rusia.
Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan berkata, ia sesuatu yang mustahil untuk merenggangkan hubungan yang telah terjalin lebih enam dekad.
“Kita telah menikmati lebih 65 tahun jalinan diplomatik yang kuat dengan Malaysia. Walaupun dasar mungkin berubah jika berlaku peralihan kerajaan di AS tapi asas hubungan dua hala tetap sama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menyaksikan siaran langsung Pilihan Raya AS, di sini, pada Rabu.
Dalam masa sama beliau turut menekankan komitmen mendalam dan dwipartisan AS terhadap rantau Indo-Pasifik.
Kagan turut ditanya mengenai penolakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini terhadap seruan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken untuk mengehadkan hubungan dengan Rusia.
Walaupun enggan mengulas lanjut, Kagan menyatakan, AS mengiktiraf Malaysia sebagai negara berdaulat dengan hak untuk menjalankan hubungan diplomatiknya mengikut kesesuaian.
Beliau berharap kedua-dua negara dapat mencari titik persamaan untuk bekerjasama sambil menghormati kepentingan teras masing-masing.