Ryzal Durian Kimchi dakwa ditipu kes jual beli tanah bernilai RM500,000

Sinar Harian
September 6, 2023 15:50 MYT
Ryzal (kanan) bersama isterinya, Maryam You Narae (kiri) juga pempengaruh Durian Kimchi dan anak mereka, Rina (tengah). -Foto Sinar Harian
PEMPENGARUH media sosial, Ryzal Durian Kimchi mendakwa ditipu berkait satu perjanjian jual beli melibatkan sebidang tanah di negeri kelahirannya di Kelantan yang bernilai lebih RM500,000.
Ryzal Ibrahim, 31, berkata, pelanggaran perjanjian itu berlaku melibatkan seorang individu lelaki berusia 50-an yang juga berasal dari negeri sama ke atas tanah milik kepada ahli keluarga lelaki itu.
Katanya, pada 26 November 2020, perjanjian yang dibuat atas nama adik perempuan Ryzal ditandatangani bagi tanah lot di mukim Padang Enggang di sini dengan harga RM40,000.
“Mengikut perjanjian, tanah itu sepatutnya menjadi milik kami tetapi semasa itu Covid-19 melanda menyebabkan urusan menukar hak milik tanah tidak dapat dilakukan walaupun selepas tamat enam bulan. Dia ada berjanji nak bayar semula RM40,000 itu, tapi hanya membayar RM10,000 sahaja.
“Apabila keadaan pandemik reda, semakan yang dibuat di Pejabat Tanah Jajahan Kota Bharu bagaimanapun mengejutkan kerana hartanah tersebut sudah berpindah milik kepada nama orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Rabu.
Menurut Ryzal, beberapa kali rundingan cuba dibuat dengan individu itu kerana melanggar perjanjian tersebut namun gagal.
Katanya, bayaran RM10,000 yang dibuat lelaki itu pada tahun 2021 tersebut hanya selepas didesak dan kemudian tidak ada lagi bayaran dibuat selepas itu menyebabkannya melantik peguam, Nik Saiful Adli Burhan dari Tetuan Irmohizan Rosley dan Nik Adli bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM40,000.
“Semasa masih menetap di Korea, beberapa kali kami terpaksa pulang ke Malaysia dan Kelantan untuk menyelesaikan urusan ini. Semua itu terutama pengangkutan melibatkan kos yang besar.
“Sekarang ini, notis tuntutan sudah pun dihantar kepadanya dan saya akan teruskan dengan saman, jika pihak tersebut masih tidak membayar kesemua wang saya,” ujarnya. -Sinar Harian
#Ryzal Durian Kimchi #perjanjian jual beli tanah #pempengaruh media sosial #Korea Selatan
;