RWMF labuh tirai, catat rekod baharu 26,000 pengunjung

Jasmine Abu Bakar
Jun 30, 2024 23:11 MYT
Rainforest World Music Festival (RWMF) 2024 melabuhkan tirai malam ini dengan mencatatkan rekod baharu 26,000 pengunjung. - Astro AWANI
SANTUBONG: Rainforest World Music Festival (RWMF) 2024 melabuhkan tirai malam ini dengan mencatatkan rekod baharu 26,000 pengunjung.

Ringkasan AI
  • Rainforest World Music Festival (RWMF) 2024 mencatatkan rekod baharu dengan 26,000 pengunjung.
  • Jumlah pengunjung tertinggi sejak 1998 dan kutipan jualan tiket meningkat 47 peratus.
  • RWMF 2024 menampilkan pemuzik terkenal seperti Kitaro dan Zainal Abidin serta dihadiri Sultan Selangor.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata jumlah tersebut merupakan yang tertinggi sejak RWMF bermula pada tahun 1998.
“Tahun ini berbeza kerana hari pertama mencatatkan bilangan pengunjung yang ramai. Sebelum ini, hari pertama mencatatkan angka yang perlahan.
“Sejujurnya saya juga terkejut dengan bilangan pengunjung pada hari pertama,” katanya pada sidang media di Kampung Budaya Sarawak, malam ini.
Abdul Karim berkata, hasil kutipan jualan tiket juga meningkat 47 peratus.
Catatan tertinggi pengunjung RWMF sebelum ini dicapai sebelum COVID-19 iaitu pada 2019 dengan kemasukan 23,000 pengunjung.
RWMF kali ini menaruhkan beberapa pemuzik terkenal luar dan dalam negara termasuk pemuzik Jepun terkenal, Kitaro dan Zainal Abidin.
Lebih istimewa apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin berkenan mencemar duli menyaksikan persembahan di RWMF dua hari berturut-turut bermula Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai RWMF pada tahun hadapan, Abdul Karim memberitahu tarikh bagi acara tahunan itu adalah pada 20 hingga 22 Jun 2025.
#RWMF #labuh tirai #Rainforest World Music Festival #catat rekod baharu pengunjung
;