RWMF 2024 tak gagal, berhibur dalam hutan hijau

Faliq Lajim
Julai 1, 2024 22:18 MYT
RWMF tahun ini catat rekod baharu dengan jumlah pengunjung seramai 26,000, tertinggi sejak ia bermula pada 1998. - Foto/Astro AWANI/Faliq Lajim
LAIN macam! Itu yang dapat digambarkan ketika melihat persembahan Kitaro dan Zainal Abidin dalam Rainforest World Music Festival (RWMF) 2024 di Kampung Budaya Sarawak (SCV).
Membawa elemen hijau dan inspirasi dari hutan hujan tropika dengan berlatarbelakangkan Gunung Santubong, tanpa gagal muzik yang dipersembahkan memukau ribuan peminat RWMF edisi ke-27 ini.
Tidak hairanlah, RWMF tahun ini mencatat rekod baharu dengan jumlah pengunjung seramai 26,000, tertinggi sejak ia bermula pada 1998.
Paling tertinggi ia pernah direkodkan pada 2019 dengan kemasukan 23,000 pengunjung dan tahun ini, hasil kutipan jualan tiket juga meningkat 47 peratus.
Edisi RWMF kali ini, menampilkan 68 pemuzik antarabangsa dari 15 negara serta 63 artis tempatan.
Ia termasuk Salammusik, Alena Murang, Tuni Sundatang, NiNi, Havana Social Club, Belle Sisoski, Mohram dan lain-lain lagi.
Mungkin selera muzik itu pada akhirnya selalu bersifat subjektif, namun tidak dapat dinafikan RWMF meraikan kepelbagaian bunyi dan irama yang akhirnya memperlihatkan lagi keindahan seni serta keunikan budaya yang diketengahkan.
Menjadikan ia lain daripada lain, konsep berhibur dalam ‘kampung’ dengan penuh kebudayaan sudah pasti menggambarkan Sarawak merayakan kepelbagaian serta kebersamaan.
Daripada Bidayuh, Iban, Cina, Melayu, Ulu, Melanau, dan Penan, gaya hidup serta jenis rumah semuanya boleh dilihat di sini.
Memetik kata Kitaro dalam sidang medianya di SCV, beliau menekankan mengenai budaya tempatan yang seharusnya diterokai dalam menghasilkan ‘kekuatan’ dalam sesebuah muzik.
RWMF anjuran Sarawak Tourism Board (STB) yang mengangkat inisiatif hijau bagi menjamin kelestarian pelancongan bertanggungjawab harus dipuji, selain diangkat untuk dijadikan contoh kepada festival-festival lain yang bakal diadakan.
Memberi fokus konsep hijau dan kebersihan alam sekitar, RWMF komited dalam mengurangkan jejak karbon sepanjang festival itu berlangsung.
Ruai Hijau yang menggunakan teknologi mesra alam untuk pelancongan mampan seperti menggunakan tenaga solar, demonstrasi akuaponik dan bengkel kitar semula antara inisiatif.
Turut dipuji juga ‘Waste Warrior’ RWMF yang tidak penat berjalan ke sana sini dari pagi hingga malam mengutip sampah bagi tujuan pengasingan untuk dikitar semula.
Penyanyi lagu Hijau, Zainal juga bersetuju untuk membuat persembahan dalam RWMF berikutan pengajur festival itu memastikan soal alam sekitar tidak diabaikan seperti sebelum-sebelum ini.
Pada tahun hadapan, RWMF dijadulkan berlangsung pada 20 hingga 22 Jun 2025 dan bagi mereka yang mahu rasakan pengalaman berhibur dalam ‘kampung’ yang penuh budaya, RWMF merupakan platform terbaik untuk rasainya.
#RWMF 2024 #Kitaro #Zainal Abidin #Kebudayaan Sarawak
;