RWMF 2024: Ruai Hijau jadi platform pamer inovasi, teknologi mesra alam
Astro Awani
Jun 30, 2024 19:00 MYT
Jun 30, 2024 19:00 MYT
KUALA LUMPUR: Inisiatif Ruai Hijau buat pertama kali diperkenalkan sempena Rainforest World Music Festival (RWMF) 2024 sebagai usaha memupuk kelestarian alam sekitar termasuk melalui teknologi hijau.
Malah, projek berkenaan selari dengan matlamat RWMF sebagai festival dengan jejak karbon yang minimum, sekali gus membolehkan para peserta terlibat dalam aktiviti mesra alam.
Menurut Pengarah Perhubungan Korporat Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Mary Wan Mering, platform tersebut disediakan untuk agensi-agensi yang terlibat mempamerkan inovasi mereka, selain memberi kesedaran tentang pelancongan bertanggungjawab.
"Jadi apa yang kami ketengahkan di sini adalah agensi-agensi yang bertanggungjawab atau mungkin yang ada inisiatif untuk memberikan kesedaran kepada rakyat umum atau pelancong yang datang ke sini.
"Kami ingin menengahkan kesedaran umum tentang aspek kelestarian dalam pelancongan atau pelancongan bertanggungjawab," katanya dalam Fokus Minggu depan yang disiarkan pada Ahad.
Sarawak Energy Berhad (SEB) antara agensi yang terlibat dalam Ruai Hijau, dengan mempamerkan penyelesaian tenaga solar luar grid dan kepentingan tenaga boleh diperbaharui dalam mengurangkan jejak karbon.
Tenaga solar daripada agensi berkenaan juga berfungsi untuk menghidupkan semua pavilion di Ruai Hijau.
"Jadi semua sistem ini telah disepadukan dengan lancar dan boleh beroperasi dalam mod luar grid.
"Maksudnya, 100 peratus bebas dan ia tidak disambungkan ke (tenaga) elektrik. Ini akan memastikan keseluruhan Ruai Hijau di sini, bukan sahaja untuk SEB tetapi semua peserta, termasuk lampu dan pembahagi air adalah 100 peratus dikuasakan oleh tenaga hijau," kata Pengurus Kanan (Robotik) SEB, Chai Yu Wan.
Ruai Hijau turut mengetengahkan penyertaan syarikat seperti Carbon GPT dan Evolving Brilliance Technologies (EB Tech) yang mempamerkan integrasi teknologi mereka untuk pelaporan ESG yang dilengkapi teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
RWMF 2024 yang memasuki edisi ke-27 mengangkat tema 'Evolusi' pada tahun ini dan ia berlangsung dari 28 sehingga 30 Jun di Kampung Budaya Sarawak di Santubong.