RUU355: Tidak bentang bukan bermakna kerajaan tolak
Abd Razak Mohd Ali
Mac 30, 2017 17:36 MYT
Mac 30, 2017 17:36 MYT
Walaupun kerajaan membuat keputusan tidak membentangkan Pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Parlimen, ia bukan bermakna kerajaan menolak akta berkenaan.
Sebaliknya, akta itu kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang dibawa PAS untuk dibahaskan secara terbuka dalam persidangan Dewan Rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata RUU 355 adalah akta yang diperkenalkan kerajaan pada 1965 sebelum dipinda dan seterusnya kekal sebagai akta persekutuan.
Justeru, ujar beliau, tidak timbul kerajaan menolak Akta 355 kerana ianya adalah milik kerajaan.
“Jangan ada pihak menyatakan bahawa kerajaan menolak RUU355, itu tidak betul sebab akta ini diperkenalkan kerajaan pada 1965 dipinda buat kali pertama pada 1984, kali kedua 1989, dan ia kekal sebagai akta kerajaan persekutuan, mana mungkin akta yang diperkenalkan kerajaan, ditolak oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Multaqa Murabbi Ummah peringkat negeri Perak di Kuala Kangsar pada Khamis yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Asyraf berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keputusan Barisan Nasional yang tidak membentangkan RUU 355 di Parlimen.
#Asyraf Wajdi Dusuki
#Dewan Rakyat
#Kuala Kangsar
#Parlimen
#Perdana Menteri
#Rang Undang-Undang 355
#RUU 355
#syariah