RUU Warganegara: KDN sudah bentang kepada Majlis Raja-Raja, perlu perhalusi lagi

Firdaus Azil
Julai 18, 2024 11:03 MYT
Saifuddin berkata, masih ada perkara yang perlu diperhalusi dengan Suhakam sebelum ia melalui bacaan buat kali kedua di Dewan Rakyat, Oktober ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian dalam Negeri (KDN) sudah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung kewarganegaraan pada Majlis Raja-Raja pada Khamis, dan menerima maklum balas positif mengenainya.

Ringkasan AI
  • Pembentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung kewarganegaraan kepada Majlis Raja-Raja dan menerima maklum balas positif.
  • Perhalusan dengan Suhakam: Masih terdapat perkara yang perlu diperhalusi dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebelum bacaan kedua di Dewan Rakyat.
  • Sesi Libat Urus: KDN bersedia meneruskan sesi libat urus dengan NGO dan memberi justifikasi terhadap cadangan pindaan, termasuk menurunkan had umur permohonan kewarganegaraan dari 21 tahun kepada 18 tahun.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, masih ada perkara yang perlu diperhalusi dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebelum ia melalui bacaan buat kali kedua di Dewan Rakyat.
Di samping itu beliau berkata, kementerian juga bersedia untuk meneruskan sesi libat urus bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan, dan memberi justifikasi terhadap cadangan yang terkandung dalam pindaan tersebut.
“Proses untuk untuk membentangkan Pindaan Perlembagaan di bawah tajuk warganegara diteruskan. Hari ini pun KDN dijemput bentang kepada Majlis Raja-Raja, tetapi perlu perhalusi lagi dengan Suhakam.
“(Respons Majlis Raja-raja) sangat-sangat positif, tetapi saya tidak boleh sebut lebih, kerana persidangan Majlis Raja-Raja biasanya akan disusuli dengan minit mesyuarat secara rasmi. Itu nanti barulah saya boleh buat pengumuman selanjutnya,” katanya lagi.
Pada 24 Mac lepas, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, telah dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat, antara lain bertujuan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.
Media melaporkan, pindaan itu demi menyelaraskan umur mengundi di Malaysia dan takrif kanak-kanak yang diperuntukkan dalam Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), serta umur dewasa di bawah Akta Umur Dewasa 1971 (Akta 211).
Selain itu, ia turut melibatkan pindaan pada Fasal (2) Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada beberapa peruntukan lain dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu Saifuddin berkata, beliau telah meneliti cadangan balas berhubung pindaan yang disediakan oleh Gabungan Hak Kewarganegaraan Malaysia (MCRA), dan beliau telah mengambil peluang memberikan penjelasan dan justifikasi pindaan dalam pertemuan bersama mereka pada Selasa lepas.
“Saya lebih (cenderung) memberi weightage kepada pertemuan saya dengan pengerusi Suhakam dua hari lepas, Datuk Hishammuddin Yunus, yang juga berpeluang untuk membentangkan pandangan mereka kepada Majlis Raja-Raja berbanding NGO.
Dalam pertemuan saya dengan beliau di pejabat saya, saya berpeluang menerangkan setiap butiran cadangan pindaan. Saya mendengar pandangan balas, dan antara persetujuan kami mengenai permohonan warganegara, KDN perlu untuk mengadakan satu prosedur operasi (SOP), dalam kes permohonan warganegara,” katanya lagi.
MCRA dalam cadangan balasnya antara lain menggesa KDN untuk mengasingkan pindaan ibu daripada pindaan yang mereka anggap regresif, dan meneruskan pembentangan pindaan ibu seperti yang dipersetujui sebelum ini.
Mereka juga menggesa Kementerian untuk memastikan pindaan ibu berkuatkuasa secara retroaktif, dan menangguh segera pindaan regresif itu sementara menunggu kajian dan rundingan lanjut.
#RUU Pindaan Perlembagaan #isu kewarganegaraan #Saifuddin Nasution #Tiada warganegara