RUU wajibkan pendidikan hingga sekolah menengah dibentang di Parlimen Februari 2025
Bernama
Disember 19, 2024 15:22 MYT
Disember 19, 2024 15:22 MYT
PUTRAJAYA: Rang undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan pendidikan hingga peringkat sekolah menengah dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Februari 2025.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata perkara itu juga telah selesai proses semakan di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC).
"...kita sudah ada dasar pendidikan sekolah rendah yang dengan adanya dasar tersebut kita mencapai enrolmen sangat tinggi iaitu antara 98 hingga 99 peratus.
"Dan dasar pendidikan wajib sekolah menengah ini maknanya kita nak zahirkan komitmen kita untuk memastikan tidak berlaku keciciran di sekolah menengah, khususnya menengah atas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Pada 4 Dis, dilaporkan AGC sedang menyemak draf RUU untuk mewajibkan pendidikan daripada peringkat rendah hingga menengah dalam usaha memastikan setiap kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat akses pendidikan yang berkualiti tanpa mengira kepelbagaian latar belakang.
Lanjutan pendidikan wajib kepada 11 tahun persekolahan itu juga bagi memastikan murid menamatkan pendidikan menengah dengan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan dalam bidang teknikal dan vokasional yang diiktiraf kerajaan.
-- BERNAMA
#wajibkan pendidikan sekolah menengah
#Fadhlina Sidek
#Kementerian Pendidikan
#Dewan Rakyat
#terkini