RUU tembakau, rokok: Hak asasi yang diiktiraf dalam Perlembagaan ada objektif - ABIM
Madiha Abdullah
Ogos 3, 2022 21:57 MYT
Ogos 3, 2022 21:57 MYT
KUALA LUMPUR: Masih terdapat beberapa isu yang harus diperjelaskan dan diperhalusi di Parlimen berhubung RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Presiden Angkatan Belia Malaysia (ABIM), Faisal Aziz berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah dakwaan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berhubung isu diskriminasi kepada mereka yang lahir pada 2007 dan seterusnya.
"Masih ada beberapa isu yang memerlukan penjelasan di Parlimen, anggota Parlimen harus mengambil peranan untuk memastikan ianya menepati prinsip isu hak asasi.
"Melihat kepada komentar ahli Parlimen Padang Rengas yang kata ini mungkin akan mencabuli prinsip hak asasi generasi lahir selepas 2007 tetapi dalam konteks Malaysia, hak asasi manusia yang diiktiraf dalam Perlembagaan ialah hak asasi berobjektif serta ada tujuan.
"Kalau saya ambil contoh dalam kes Tan Teck Seng, hakim menyebut apabila tentang right to live, ia merangkumi integral part of life dengan tafsiran luas termasuk hak untuk hidup sihat.
"Kes RUU tembakau ini sebenarnya menepati apa yang disebut iaitu memberi definisi bahawa hak asasi manusia dalam Perkara 5 Perlembagaan, harus diberi interprestasi luas bukan sahaja hak untuk lakukan sesuatu tetapi juga hak untuk dapatkan kehidupan yang sihat, mapan dan juga bebas daripada pencemaran," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Rabu.
Faisal juga menegaskan RUU ini tidak seharusnya dilihat dalam konteks hukuman tetapi sebaliknya transformasi budaya dan cara hidup.
"Memang ia perlu dilaksanakan dengan proposional, saya mengikuti perbincangan di Parlimen, bagaimana pindaan dibuat sebagai contoh denda yang sebelum ini ditetapkan RM5,000 diturunkan kepada RM500.
"Ini contoh elemen proportionality yang cuba untuk dibawa supaya tidak ia terbuka kepada penyalahgunaan kuasa.
"Transformasi ini merupakan sandaran baik untuk kerajaan kuat kuasakan larangan merokok seperti yang sudah dilaksanakan sebelum ini di mana merokok tak dibenarkan di premis makanan.
"Ini bagi membolehkan budaya hidup baharu ini dapat diterjemahkan dan tidak melahirkan stigma atau diskriminasi dalam kalangan anak muda ini kelak," katanya lagi.