RUU Tanggungjawab Fiskal dibentang Oktober ini
Bernama
September 11, 2023 20:53 MYT
September 11, 2023 20:53 MYT
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) telah sebulat suara bersetuju mengenai kepentingan dan kesegeraan untuk membentangkan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal (FRA) di Parlimen pada Oktober ini, kata Kementerian Kewangan (MoF).
Rang Undang-Undang berkenaan (FRA) yang digubal bersesuaian dengan konteks Malaysia, dijangka dapat menambah baik rangka kerja perundangan fiskal negara.
"Ia mengandungi prinsip pengurusan fiskal yang kukuh dengan memberi penekanan kepada tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam," kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian itu berkata Akta ini juga akan menekankan kebertanggungjawaban Menteri Kewangan kepada Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawabnya menggubal dasar fiskal dan mengurus wang awam.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat itu bagi meneliti perkembangan ekonomi negara dan kedudukan fiskal kerajaan terkini serta unjuran fiskal jangka sederhana sebagai persediaan Belanjawan 2024.
Jawatankuasa itu membincangkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar, kedudukan fiskal kerajaan dan rangka kerja fiskal jangka sederhana untuk penyediaan Belanjawan 2024.
Mesyuarat hari ini turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, dan Bank Negara Malaysia.
Jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam merangka strategi, menetapkan hala tuju serta menambah baik tatakelola pengurusan kewangan awam bagi memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan jangka sederhana dan panjang.
-- BERNAMA