RUU tahanan di rumah bukan untuk ‘bebaskan’ Najib, VIP lain - Fahmi

Ridauddin Daud
Oktober 25, 2024 16:20 MYT
Menurut Fahmi, RUU itu juga untuk membantu mengurangkan kesesakan di dalam penjara yang kini didiami lebih 82,000 banduan, melebihi kapasiti iaitu seramai 74,000 banduan.
PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) baharu mengenai hukuman tahanan di rumah bukan untuk ‘membebaskan’ bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau orang kenamaan lain.

Ringkasan AI
  • RUU baharu mengenai hukuman tahanan di rumah bukan bertujuan untuk membebaskan mana-mana individu terkenal, tetapi adalah sebahagian usaha kerajaan mengubah pendekatan dari keadilan menghukum (punitive justice) kepada keadilan pemulihan (restorative justice).
  • RUU ini juga bertujuan mengurangkan kesesakan penjara yang kini melebihi kapasiti, dengan mewujudkan alternatif tahanan di rumah bagi kesalahan ringan yang sesuai.
  • Tahanan di rumah membantu mengurangkan kos sosial dan mengurangkan kebarangkalian pesalah berulang kali ke penjara selepas bebas.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, niat utama RUU itu adalah untuk menukar konsep ‘punitive justice’ yang diamalkan sebelum ini kepada ‘restorative justice’ atau keadilan pemulihan kepada banduan.
Selain itu, katanya, ia juga untuk membantu mengurangkan kesesakan di dalam penjara yang kini didiami lebih 82,000 banduan, melebihi kapasiti iaitu seramai 74,000 banduan.
“Ia tidak ada kaitan kepada mana-mana individu tapi bila kita lihat ekosistem itu secara keseluruhan, kita perlu beranjak sesuai dengan zaman.
“Banyak negara mengamalkan konsep 'restorative justice' dan kita pun ke arah itu. Dapatan awal, seperti saya sebutkan tadi, banduan-banduan ini lebih boleh diterima masyarakat.
“Bila mereka habiskan sisa penahanan mereka dalam komuniti. Itu akan dapat membantu mengurangkan kos, beban dan tekanan kepada sistem sosial dalam negara kita bila kita dapat kawal kadar residivisme (melakukan jenayah berulang kali selepas bebas),” katanya.
Tambahnya, mereka yang bakal terlibat dalam RUU baharu itu adalah banduan yang kesnya tidak terlalu berat dan hukumannya tidak lebih daripada sejumlah tahun yang akan diputuskan kelak.
Jelasnya, objektifnya juga adalah untuk mengurangkan kebarangkalian pesalah kembali ke penjara setelah dibebaskan.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi pada Jumaat.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata RUU berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada tahun hadapan.
Beliau berkata RUU berkaitan tahanan di rumah tidak melibatkan pindaan Akta Penjara sebaliknya RUU baharu diwujudkan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 berkata kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
Hukuman berkenaan memperuntukkan pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan.
#Fahmi Fadzil #Najib Razak #RUU tahanan di rumah #Anwar Ibrahim #terkini
;