RUU POTA: SAMM kecewa Ahli Parlimen PR ponteng sidang Dewan Rakyat

Astro Awani
April 8, 2015 10:45 MYT
RUU POTA: SAMM kecewa Ahli Parlimen PR ponteng sidang Dewan Rakyat - Gambar fail
Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang diluluskan pada Selasa dilihat berpunca daripada kegagalan kehadiran ramai Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) semasa proses pengundian itu sendiri.
Penyelaras Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Roslee Mohd Shariff berkata, kerana itu, Ahli Parlimen PR tidak harus kecewa dengan RUU itu selain perlu memberi penjelasan kepada rakyat punca ketidakhadiran pada hari pengundian itu.
"Hanya terdapat 64 orang pada pengundian Bacaan Kali Kedua dan terus menyusut kepada 60 orang pada pengundian Bacaan Kali Ketiga.
"Ini bukanlah kali pertama Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hilang dari Dewan Rakyat. Penggal lepas pun terdapat beberapa kali Ahli-Ahli Parlimen PR ponteng semasa Rang Undang-Undang yang penting hendak diluluskan termasuklah Rang Undang-Undang Pembangunan Kampung Baru dahulu," katanya.
BERITA BERKAITAN: Dewan Rakyat lulus POTA selepas lebih 12 jam dibahas
Jelas Roslee, apa juga alasan diberi dilihat cuba untuk menafikan kelemahan dan kesilapan sendiri.
"Jika alasan jadual aturan mesyuarat ditentukan BN, apakah sebagai seorang Ahli Parlimen, kamu tidak boleh bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan?
"Alasan Parlimen penuh dan majoriti kerusi dipegang BN juga tidak boleh dipakai kerana kehadiran merupakan syarat dan juga bukti kejujuran dan keikhlasan mengangkat sumpah sebagai seorang wakil rakyat.
"Sementara alasan mesyuarat dan program di luar juga tidak boleh diterima kerana seharusnya mereka merancang hari selain persidangan," ujarnya.
Bagaimanapun kata Roslee, SAMM menerima alasan Ahli Parlimen yang berada di luar negara atas urusan rasmi Kerajaan Negeri atau mempunyai masalah kesihatan.
"Tetapi bagaimana pula dengan Ahli Parlimen yang masuk ke Dewan Rakyat pada sebelah siang dan kemudiannya pulang awal.
"Setelah menyentuh skrin komputer di meja pada awal pagi sebagai tanda kehadiran, anda akan menerima elaun kehadiran.
"Terima elaun kehadiran dan kemudian pulang awal. Beginikah sikap seorang Ahli Parlimen yang bertanggungjawab?" tegasnya.
Jelasnya, senarai Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang tidak hadir telah pun viral di media sosial selain turut merangkumi kedua-dua Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang.
"Kita mencadangkan agar setiap parti politik menggunakan kaedah satu calon, satu kerusi dalam pilihan raya akan datang.
"Ini penting supaya dapat memastikan setiap Ahli Parlimen dan Adun fokus terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing," ujarnya.
Dalam pada itu katanya lagi, seluruh rakyat perlu memerhatikan dengan jelas setiap tindakan, perangai dan disiplin Ahli-Ahli Parlimen masing-masing.
"Mana-mana Ahli Parlimen yang culas, malas dan sentiasa mencari alasan untuk tidak hadir ke mesyuarat Dewan Rakyat tidak harus diundi semula.
"Mereka ini tidak amanah dan bertanggungjawab dalam memikul peranan sebagai wakil yang dipilih rakyat," katanya.
POTA diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 2.25 pagi Selasa, selepas dibahaskan lebih 12 jam.
POTA diluluskan selepas undian belah bahagian kesembilan dilakukan dengan undian terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju dan 60 tidak bersetuju (untuk meluluskan).
#Parlimen #pota #SAMM
;