RUU Pindaan Akta 342: Lima peruntukan baharu, lima pindaan dicadangkan KKM
Fareez Azman
Disember 14, 2021 19:10 MYT
Disember 14, 2021 19:10 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan lima peruntukan baharu dan lima pindaan dalam Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 (Akta 342).
Menurut Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Datuk Dr Norhayati Rusli, ia merangkumi 10 Seksyen di bawah Akta 342 yang akan ditambah baik bagi memastikan kesinambungan pengawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini.
"Peruntukan dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dimasukkan ke dalam pindaan Akta 342, tiga peruntukan dan lima pindaan.
"Peruntukan dalam Peraturan-Peraturan yang telah dibuat sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dan mengambil komponen berkaitan bagi memastikan kesinambungan dan penambahbaikan Akta 342 melibatkan dua peruntukan baharu," jelasnya.
Tambah Dr Norhayati, ia melibatkan Seksyen 2, Seksyen 10, Seksyen 14A, Seksyen 15A, Seksyen 21A, Seksyen 21B, Seksyen 21C, Seksyen 22A, Seksyen 24, Seksyen 25 dan Seksyen 31.
Antara penambahbaikan yang akan dilakukan termasuk cadangan meningkatkan nilai kompaun daripada RM1,000 kepada satu nilai yang dibezakan jumlah antara individu dengan pertubuhan perbadanan.
Manakala bagi pertubuhan dan perbadanan pula jelasnya, dicadangkan untuk ditingkatkan kepada RM1 juta berbanding RM1,000 sebelum ini.
"Nilai RM1 juta ditetapkan bagi pertubuhan perbadanan kerana ia bertanggungjawab memastikan organisasinya serta tempat kerjanya selamat dan tidak menyebabkan berlakunya penularan penyakit berjangkit.
"Nilai kompaun yang tinggi ini sebagai satu pengajaran agar kesalahan tidak diulangi.
"Walau bagaimanapun, pengenaan nilai kompaun ini juga dibuat berdasarkan jenis kesalahan yang dilakukan," jelasnya lagi.
Bagaimanapun jelasnya, nilai kompaun yang dicadangkan itu akan dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga di Parlimen pada Khamis ini.
Beliau berkata demikian dalam sesi penerangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bersama media berkenaan Pindaan RUU Akta 342 di Putrajaya pada Selasa.
Berikut antara pindaan yang dicadangkan KKM:
Seksyen 24 (Penalti Am)
Mana-mana orang yang melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata, boleh, apabila disabitkan:
(a) dalam hal seseorang itu merupakan seorang individu, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya; atau
(b) dalam hal sesuatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta.
Seksyen 25 (Pengkompaunan kesalahan)
Pindaan membolehkan pegawai dari badan berkanun atau PBT yang dilantik sebagai pegawai diberi kuasa mengeluarkan kompaun ke atas kesalahan yang dilakukan.
Dalam keadaan pandemik penyakit berjangkit dengan penularan jangkitan berlaku dalam komuniti, petugas KKM menumpukan perhatian kepada aktiviti siasatan kes dan kontak, serta menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan jangkitan.
(a) dalam hal seseorang itu merupakan seorang individu, suatu jumlah wang yang tidak melebihi RM10,000; atau;
(b) dalam hal sesuatu pertubuhan perbadanan, suatu jumlah wang yang tidak melebihi RM1 juta.
Seksyen 31 (Kuasa membuat peraturan-peraturan)
31(3) Peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini boleh menetapkan apa-apa perbuatan yang melanggar peraturan-peraturan itu menjadi suatu kesalahan dan boleh menetapkan penalti denda tidak melebihi RM2 juta, atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun, atau kedua-duanya.