RUU Perbekalan 2023 dibaca kali pertama, bacaan kedua Jumaat ini

Firdaus Azil
Oktober 5, 2022 12:15 MYT
RUU itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah, yang juga Ahli Parlimen Paya Besar. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah, yang juga Ahli Parlimen Paya Besar.
"Bacaan kali kedua adalah pada hari Jumaat, 7 Oktober 2022, jam 4 petang," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengenai tarikh bacaan kali kedua RUU itu.
Mengikut Aturan Mesyuarat, Bajet 2023 bertemakan 'Memperkukuh Pemulihan dan Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia' itu akan dibahas di peringkat dasar bermula 11 hingga 26 Oktober.
Menteri-menteri berkaitan akan diberi tempoh masa empat hari untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan, sebelum digulung oleh Tengku Zafrul sendiri.
Perbahasan peringkat jawatankuasa pula dijadualkan bermula dari 3 hingga 23 November sebelum rang undang-undang berkenaan diluluskan Dewan Rakyat.
Sebelum ini timbul persoalan sekiranya Bajet 2023 masih akan dibentangkan, selepas beberapa media melaporkan kemungkinan pembubaran Parlimen pada minggu ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Selasa memaklumkan beliau tidak mendengar sebarang perubahan tentang pembentangan Bajet 2023
Ahli Parlimen Santubong itu berkata, ia berdasarkan maklumat dan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 'pre council' pada Ahad lalu.
#Bajet 2023 #Parlimen #Dewan Rakyat #Mohd Shahar Abdullah
;