RUU penubuhan Majlis Media Malaysia kini di peringkat akhir - Fahmi
Bernama
Februari 20, 2024 13:00 MYT
Februari 20, 2024 13:00 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan kini dalam fasa terakhir untuk membawa Draf Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMC) ke Kabinet, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata penubuhan majlis media itu mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan proses dengan Jabatan Peguam Negara, dan perlu dipertimbang serta diputuskan oleh Jemaah Menteri.
"Insya-Allah (penubuhan Majlis Media Malaysia) tidak berapa lama lagi," katanya ketika berucap melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya kerajaan sentiasa komited memastikan kebajikan pengamal media di negara ini terbela dan Jabatan Penerangan (JaPen) diseru mempergiat pelbagai inisiatif yang akan memberi manfaat kepada golongan itu.
Fahmi berkata satu pertemuan telah diadakan dengan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong bagi memastikan kebajikan wartawan sambilan (stringer) terbela, khususnya menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Difahamkan daripada 9,750 pemegang kad perakuan media, lebih 6,000 adalah wartawan sambilan dan ini jumlah besar. Aspek kebajikan berkaitan KWSP, Perkeso dalam pertimbangan.
"Saya perlu sedikit masa untuk bincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa... ada sedikit berita positif untuk wartawan sambilan, berikan kami sedikit masa," katanya.
Sementara itu, beliau meminta JaPen mengkaji kewajaran meningkatkan tempoh perakuan kad media membabitkan pengamal media antarabangsa, yang ketika ini tempoh sah hanya untuk setahun sahaja berbanding media tempatan iaitu dua tahun.
"Saya lihat ada kewajaran memandangkan ramai rakan media yang terlibat dalam media antarabangsa adalah warga Malaysia dan mereka berpangkalan di negara ini," katanya.
-- BERNAMA