RUU Pembaharuan Semula Bandar lindungi hak pemilik, pampasan lebih adil - PM
Afiezy Azaman
Mac 19, 2025 12:22 MYT
Mac 19, 2025 12:22 MYT
Anwar berkata prinsip utama RUU PSB adalah memastikan sebarang projek pembaharuan dijalankan melalui perundingan dengan pemilik bagi mendapatkan persetujuan sebelum dilaksanakan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) digubal bagi melindungi hak pemilik asal kediaman, khususnya orang Melayu dan Bumiputera dalam sebarang projek pembaharuan bandar.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menepis dakwaan bahawa pelaksanaan undang-undang ini akan menyebabkan pemilik asal kehilangan hak mereka.
"Sebaliknya, prinsip utama RUU PSB adalah memastikan sebarang projek pembaharuan dijalankan melalui perundingan dengan pemilik bagi mendapatkan persetujuan sebelum dilaksanakan.
"Selepas persetujuan dicapai, pemilik akan menerima semula hartanah mereka yang telah diperbaharui, selain menerima pampasan, manfaat sara hidup, serta beberapa manfaat lain sepanjang tempoh pembinaan dan selepas ia diselesaikan," katanya semasa Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, pada Rabu.
Tunku Nashrul menjelaskan bahawa rumah yang telah diperbaharui akan dikembalikan kepada pemilik asal agar mereka dapat kembali menghuni di tapak asal yang telah dibangunkan.
Selain itu katanya, nilai pampasan yang diperoleh pemilik akan berdasarkan nilai pasaran masa hadapan, sekaligus membantu mereka untuk memiliki semula kediaman tersebut.
"Situasi ini berbeza berbanding sistem semasa, di mana pampasan ditentukan berdasarkan nilai pasaran semasa, menyebabkan pemilik sukar memiliki rumah baharu yang harganya lebih tinggi.
"RUU PSB juga akan memastikan pelbagai bentuk pampasan dan manfaat lain diberikan kepada pemilik, termasuk bayaran sewaan kediaman transit, bayaran ex-gratia untuk renovasi hartanah sedia ada, serta bantuan sara hidup sepanjang tempoh pembinaan," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa tanggapan kononnya undang-undang ini akan menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera kehilangan tempat di bandar adalah tidak benar.
Malah katanya, RUU PSB bertujuan untuk melindungi hak pemilik dengan memastikan mereka menerima pampasan yang lebih adil serta membolehkan mereka hidup dengan lebih bermaruah.
"RUU PSB adalah penyelesaian kepada pergelutan antara rakyat dan pemaju yang telah berlarutan sekian lama. Ia digubal bagi memastikan keadilan sosial, selaras dengan gagasan MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat," katanya.