RUU Mufti WP: Jika Menteri Agama benar, buktikan beliau faham sebelum paksa rakyat – Dr MAZA
Khalis Khadir
Oktober 16, 2024 16:41 MYT
Oktober 16, 2024 16:41 MYT
KUALA LUMPUR: Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mengkritik keras Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024.
Ringkasan AI
- Kritikan terhadap RUU: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mengkritik keras Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Mohd Na'im Mokhtar, berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 yang mensyaratkan akidah Ashairah dan Maturidiyyah.
- Kefahaman akidah: Mohd Asri berkata kebanyakan umat Islam, termasuk Menteri Agama, tidak memahami sepenuhnya ajaran Ashairah dan Maturidiyyah, dan menegaskan bahawa memahami perbahasan akidah adalah penting.
- Isu sektarian: Mohd Asri bimbang RUU ini akan mencetuskan era kafir mengkafir dan sesat menyesatkan sesama umat, serta menganggapnya sebagai isu sektarian yang disumbat kepada kerajaan.
Mohd Asri berkata, kebanyakan besar umat Islam tidak memahami berkaitan ajaran Al-Ashairah dan Al-Maturidiah yang ingin dijadikan sebagai identiti Ahli Sunnah wal Jamaah.
Malah beliau yang lebih dikenali sebagai Dr MAZA mendakwa Mohd Na'im sendiri belum tentu faham berkaitan perkara itu.
“Saya berani katakan, insya-Allah Menteri Agama yang beriya-iya mahu mensyaratkan akidah rakyat dengan syarat-syarat itu pun kurang faham. Saya boleh buktikan, insya-Allah jika saya diberikan ruang secara terbuka disaksikan rakyat untuk bersoal-jawab dengan beliau berkaitan beberapa soalan tentang Ashairah, Maturidiyyah, al-Junaid dan al-Ghazali.
“Jika beliau benar, beliau dahululah buktikan beliau faham sebelum beliau ingin memaksa rakyat. Jika beliau sendiri tidak mampu, apakah beliau mahu menyesatkan akidah rakyat awam yang akhirnya menyesatkan diri?” soalnya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.
Katanya, RUU yang Menteri Agama mahu laksanakan akan menjadikan keislaman seseorang di Wilayah Persekutuan tidak dianggap mencukupi sehinggalah individu itu menganut Ashairah, Maturidiyyah, bertasawuf dengan cara Junaid al-Baghdadi dan al-Ghazali.
“Jika tidak, muslim itu dianggap terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jamaah dan menganut ajaran sesat. Di sana ada akta ajaran sesat yang boleh dikenakan,” ujarnya.
Mohd Asri menambah, untuk mengikuti mazhab akidah seperti Ashairah dan Maturidiyyah, ia tidak memadai sekadar mengetahui nama pengasas dan beberapa isu teologi sahaja.
Sebaliknya ia perlu memahami perbahasan akidah berkaitan qidam, azali, jisim, jauhar, masa, tempat dan beberapa teori serta andaian hukum fizik yang pelbagai.
Asri berkata dia percaya sekurang-kurangnya 97 peratus orang Islam di negara ini tidak mampu memahami perbahasan akidah Ashairah dan Maturidiyyah.
“Apakah dengan RUU ini, maka era kafir mengkafir sesama umat akan bermula? Sesat menyesatkan akan menjadi agenda kerajaan? Rakyat akan diuji keabsahan akidah mereka?
“Atau mungkin selepas ini akan dicadangkan dimasukkan ke kad pengenalan, Agama: Islam Ashairah Maturidiyyah Junaid dan Ghazali. Apa yang saya lihat, ini isu sektarian yang disumbat kepada Kerajaan MADANI. Agenda orang lain yang ingin mengkultuskan yang cuba menggunakan undang-undang negara,” katanya lagi.
Mohd Asri sebelum ini mengajak Mohd Na’im tampil berdialog dengannya berhubung RUU itu selain meminta media rasmi kerajaan memberi ruang berkenaan secara terbuka agar rakyat menyaksikan cara menteri berkenaan mempertahankan ideanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa bacaan pertama RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 telah dilakukan pada Julai lepas. RUU ini merupakan satu daripada tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam yang dibentangkan untuk tujuan pindaan.
RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 antaranya untuk memberi takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sudut akidahnya bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah.
Ia akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen yang bermula 14 Okt.