RUU Mufti Wilayah Persekutuan relevan untuk menyatupadukan masyarakat - RAM

Bernama
Julai 7, 2024 05:20 MYT
Pertubuhan itu menyokong penuh pembentangan rang undang-undang bertujuan mengadakan peruntukan bagi perkara berhubung dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara berkaitan.
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia (RAM) berpendapat bahawa Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 amat relevan dalam usaha menyatupadukan pelbagai latar belakang masyarakat di negara ini.
Pengerusi RAM Datuk Syed Hood Syed Edros Al-Aydrus berkata pertubuhan itu menyokong penuh pembentangan rang undang-undang bertujuan mengadakan peruntukan bagi perkara berhubung dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara berkaitan.
"RAM melihat Seksyen 3(2)(a), (b) dan (c) serta Seksyen 3(4)(a), (b) dan (c) adalah amat relevan apabila Seksyen 3(2) menyatakan bahawa seseorang itu layak menjadi mufti atau timbalan mufti jika dia seorang warganegara Malaysia, Ahli Sunah Waljamaah serta mempunyai kepakaran dalam hukum syarak.
"Seksyen 3(4) pula menerangkan lebih lanjut berkenaan keseluruhan Seksyen 3 dengan menyatakan bahawa Ahli Sunah Waljamaah ertinya mana-mana orang yang berpegang dengan al-Quran dan sunah berkenaan akidah, syariah dan tasawuf," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Ahad.
Syed Hood berkata RAM berharap agar semua Ahli Parlimen terutama yang beragama Islam menyokong rang undang-undang itu yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua minggu depan seterusnya diluluskan tanpa pindaan pada sidang kali ini.
Pada 2 Julai lepas, Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Menerusi rang undang-undang itu, ia juga memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.
-- BERNAMA
#RUU Mufti Wilayah Persekutuan #relevan #Rabithah Alawiyah Malaysia #menyatupadukan masyarakat
;