RUU MKN tidak ambil alih kuasa Yang diPertuan Agong - Shahidan

Hafiz Marzukhi
Disember 3, 2015 20:34 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ramai melontarkan hujah berdasarkan persepsi dan bukan realiti. - Gambar Fail
Ahli Parlimen Pembangkang menghakim Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 tanpa merujuk dengan teliti perkara yang diperuntukkan di bawah rang undang-undang berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ramai melontarkan hujah berdasarkan persepsi dan bukan realiti.
"Sekarang ini, kita bercakap tentang keselamatan. Bukan darurat.
"Jadi untuk menyatakan bahawa rang undang-undang ini mengambil alih peranan Yang diPertuan Agong adalah salah sama sekali," jelas Shahidan ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang MKN 2015 di Dewan Rakyat pada malam ini.
Tambahnya lagi, rang undang-undang ini merujuk kepada pengisytiharan kawasan keselamatan, bukan darurat.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dari DAP ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat petang tadi menyifatkan Rang Undang-Undang terbabit sebagai bertentangan dengan perlembagaan kerana ia dikatakan secara tidak langsungnya mengambil alih kuasa Yang diPertua Agong.
Turut menyatakan bantahan, Bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan yang menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Kerajaan Persekutuan sejurus sebelum Rang Undang-Undang itu dibaca di Dewan Rakyat hari ini.
#Majlis Keselamatan Negara #Rang Undang-Undang MKN 2015 #Shahidan Kassim
;