RUU MCMC ditangguhkan, dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen
Bernama
Disember 10, 2024 18:50 MYT
Disember 10, 2024 18:50 MYT
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024 ditangguhkan bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan untuk memperhalusi dan meneliti perkara tersebut sebelum diluluskan Dewan Rakyat.
Ringkasan AI
- Penangguhan RUU: Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024 ditangguhkan untuk memberi ruang kepada semua pihak berkaitan untuk memperhalusi dan meneliti perkara tersebut sebelum diluluskan di Dewan Rakyat.
- Pandangan Jawatankuasa: RUU tersebut akan dibawa kepada dua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk mendapatkan pandangan dan cadangan bagi menambah baik RUU itu.
- Pemisahan Peranan: Antara pindaan utama dalam RUU tersebut adalah pemisahan peranan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif untuk memperkukuh tadbir urus dan pengoperasian MCMC.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata RUU itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk mendapatkan pandangan dan cadangan bagi menambah baik RUU itu.
Beliau mengemukakan cadangan penangguhan itu berdasarkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat 62 Dewan Rakyat ketika sesi penggulungan perbahasan RUU itu pada peringkat dasar hari ini.
"Saya harap kedua-dua jawatankuasa ini dapat meneliti RUU ini sebaiknya serta jemput rakan-rakan di luar sana kerana tidak mahu ada persepsi bahawa akta ini hanya untuk memuaskan nafsu politik, hanya untuk menyebelahi sebelah pihak.
"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah milik rakyat Malaysia, oleh itu saya berharap lebih ramai yang dapat memberikan pandangan melalui jawatankuasa-jawatankuasa ini supaya dapat pertimbangkan dan bawa semula satu RUU yang diharap akan dipersetujui dan disokong semua pihak," katanya.
Fahmi berkata pelbagai perkara dibangkitkan ahli Parlimen semasa perbahasan itu yang tidak dibincangkan dalam sesi libat urus MCMC dengan pihak berkepentingan sebelum ini.
"Saya mengambil perhatian kerana perkara yang dibangkitkan ahli-ahli Yang Berhormat ini saya lihat mungkin wajar diberikan lebih banyak ruang untuk kita teliti dan perhalusi," katanya.
Beliau berkata cadangan untuk mendapatkan pandangan dua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tersebut adalah langkah yang tepat bagi memperkukuhkan MCMC memandangkan Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) dipandu suruhanjaya itu.
Semasa membentangkan RUU MCMC (Pindaan) 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam, Fahmi berkata pindaan itu bertujuan menambah baik peranan serta memperkukuh tadbir urus dan pengoperasian MCMC agar lebih berdaya tahan dan mampan dalam mengawal selia industri komunikasi dan multimedia.
Beliau berkata RUU itu juga akan menyumbang kepada pembangunan industri yang lebih tertumpu, kompeten dan efisien menerusi pemantapan aktiviti pengawalseliaan MCMC selari dengan perkembangan dan kehendak semasa industri di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Fahmi berkata dalam aspek tadbir urus, antara pindaan utama rang undang-undang itu adalah pemisahan peranan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif kerana peruntukan undang-undang sedia ada memperlihatkan kedua-dua peranan dipegang oleh orang yang sama.
-- BERNAMA
#Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
#Fahmi Fadzil
#ditangguhkan
#Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen
#terkini