RUU Majlis Media Malaysia dijangka dibentang pada Mesyuarat Ketiga Parlimen ke-15
Bernama
Julai 2, 2024 21:45 MYT
Julai 2, 2024 21:45 MYT
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia dijangka dibentang pada sidang Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen ke-15, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata ketika ini, Kementerian Komunikasi dalam peringkat akhir untuk memuktamad kandungan rang undang-undang itu bersama Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia yang terdiri daripada wakil industri media, ahli akademik dan pihak awam.
"Hal ini adalah bagi memastikan peruntukan-peruntukan yang dipersetujui dalam kandungan rang undang-undang tersebut adalah jelas serta memastikan penubuhan majlis media itu kelak memenuhi objektif utama yang disasarkan," katanya.
Teo berkata demikian pada sesi penggulungan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2021 dan 2022 bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata pada Mei lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah meminta Kementerian Komunikasi merujuk rang undang-undang itu kepada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk Analisis Impak Peraturan (RIA).
Teo berkata selepas kandungan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia dimuktamad dan proses RIA diselesaikan, draf akan dikemukakan kepada AGC untuk semakan selanjutnya.
"Seterusnya kementerian akan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan bagi pembentangan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia di Parlimen setelah semakan oleh AGC selesai dilaksanakan," katanya.
Penubuhan Majlis Media Malaysia adalah bagi membangun dan melaksanakan kod etika pelaporan yang dapat memperkasakan profesion kewartawanan negara serta memastikan pelaporan berita dilakukan oleh media secara bertanggungjawab.
Ia turut berfungsi menggalakkan komunikasi antara pengamal media, kerajaan dan orang awam selain menyokong pembangunan profesional wartawan serta organisasi media.
-- BERNAMA