RUU Majlis Media Malaysia dijangka dibentang di Parlimen selewatnya Mac 2024 - Fahmi
Bernama
Mei 28, 2023 19:50 MYT
Mei 28, 2023 19:50 MYT
IPOH: Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia dijangka akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Mac tahun hadapan.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ketika ini kementeriannya sedang dalam fasa terakhir bagi menyiapkan draf RUU berkenaan selepas melakukan proses libat urus bersama pemain-pemain industri media.
"Kita akan majukan draf itu kepada pejabat Peguam Negara untuk penelitian dan seterusnya ia akan diangkat ke mesyuarat Jemaah Menteri. Seterusnya selepas diluluskan Jemaah Menteri, maka ia akan dibentangkan di Parlimen.
"Jangkaan kita adalah seawal bulan Oktober nanti ketika Parlimen bersidang, pada waktu itu atau selewat-lewatnya pada sidang pertama tahun 2024 iaitu sekitar bulan Mac," katanya pada sidang media selepas Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Katanya beliau berharap selepas RUU itu dibentang dan diluluskan kelak, penganjuran HAWANA untuk edisi akan datang akan dapat diurus dan dilaksanakan oleh Majlis Media Malaysia, selaras dengan hasrat yang dinyatakan Perdana Menteri ketika merasmikan majlis itu..
Sementara itu Fahmi berkata pihaknya juga sedang meneliti perkara berkenaan perbelanjaan iklan yang dibangkitkan pengamal media dalam sesi libat urus yang dilakukannya sebelum ini.
"Saya telah menerima beberapa kerangka awal bagi mekanisme yang diguna pakai di negara lain, tapi untuk penelitian dan penyesuaian dengan keadaan di Malaysia, saya menjangkakan kita boleh membentuk sebuah pasukan petugas untuk proses libat urus yang lebih mendalam.
"Setelah proses itu selesai, kita boleh bawa satu draf mengenainya ke pejabat Peguam Negara diikuti Jemaah Menteri," katanya.
Justeru beliau berharap pemain-pemain industri media akan dapat terus memberikan idea dan cadangan mereka ke arah merealisasikan hasrat itu.
Mengulas mengenai peruntukan permulaan RM1 juta untuk Tabung Kasih@Hawana yang diumumkan Perdana Menteri, Fahmi berkata ia memberi suntikan semangat kepada pihaknya untuk terus mendampingi wartawan yang menghadapi masalah seperti kesihatan dan kewangan.
"Saya sangat memahami keadaan yang dihadapi. Selain bantuan kewangan, ada aspek lain yang boleh kita teliti sebagai contoh membantu mereka mencari kerjaya baharu ataupun bagaimana mereka boleh manfaatkan ekonomi digital bagi kelangsungan hidup mereka," katanya.
-- BERNAMA