RUU lompat parti, had tempoh jawatan PM masih perlu diteliti - Wan Junaidi

Madiha Abdullah
Mac 18, 2022 19:22 MYT
Penelitian dan perbincangan lanjut penting bagi memastikan pindaan ini mendapat sokongan di Dewan Rakyat, kata Wan Junaidi. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kabinet memutuskan bahawa Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri Sehingga 10 Tahun masih memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini penting bagi memastikan pindaan ini mendapat sokongan di Dewan Rakyat.
"Di bawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, sokongan majoriti dua pertiga di Dewan (Rakyat) diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
"Saya sudah mengemukakan surat kepada semua pemimpin parti berserta borang soal selidik untuk dijawab bersama draf RUU untuk pandangan dan input selanjutnya pada 15 Mac lalu.
“Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada keseluruhan sembilan sesi libat urus yang saya telah adakan bersama pelbagai pihak seperti ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta parti-parti komponen termasuk di Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Junaidi menegaskan, sebaik sahaja pendapat dan maklum balas daripada semua pihak diperoleh serta sesi libat urus selesai, RUU tersebut akan dibentangkan semasa Sidang Khas Parlimen selaras dengan Peraturan 11(3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Kerajaan, tambah beliau, sentiasa komited dan akan meneruskan usaha merealisasikan penggubalan RUU ini demi memastikan kestabilan politik negara berada pada tahap terbaik.
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Dewan Rakyat #Akta Lompat Parti #had jawatan Perdana Menteri
;