RUU LHDN (Pindaan) 2023 ditangguh ke sidang akan datang
Bernama
Jun 15, 2023 19:40 MYT
Jun 15, 2023 19:40 MYT
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) (Pindaan) 2023 bagi bacaan kali kedua yang sepatutnya diluluskan Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan ke persidangan akan datang.
Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata penangguhan itu bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas meminda Fasal 2 seksyen 6 Akta 533 dalam pelantikan serta pemberhentian wakil dari Sabah dan Sarawak hendaklah dirujuk kepada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.
"Di bawah Peraturan Mesyuarat 62 dan nasihat daripada Setiausaha Dewan Rakyat maka RUU ini ditangguhkan untuk bacaan kali kedua pada sidang yang akan datang," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menurut naskah biru yang diedarkan di Parlimen, RUU ini bertujuan untuk meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 (Akta 533) di mana Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan.
Fasal 2 bertujuan untuk meminda seksyen 6 Akta 533 untuk meluaskan keanggotaan Lembaga dengan menambah seorang yang mewakili Sabah dan seorang yang mewakili Sarawak yang hendaklah dilantik oleh menteri.
Manakala bagi Fasal 3 bertujuan untuk meminda seksyen 7 Akta 533 untuk memperuntukkan bahawa anggota yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(da) atau (db) hendaklah juga memegang jawatan, tertakluk kepada terma yang ditentukan oleh menteri, selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan hendaklah boleh dilantik semula.
"Fasal 4 bertujuan untuk meminda seksyen 9 Akta 533 bagi memperuntukkan bahawa pelantikan anggota yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(da) atau (db) juga boleh, pada bila-bila masa, dibatalkan oleh menteri tanpa memberikan apa-apa sebab baginya," kata naskah biru tersebut.
Selain itu, Fasal 5 bertujuan untuk meminda perenggan 28(a) Akta 533 bagi meluaskan kuasa pelaburan lembaga dengan menyimpan wang lembaga yang ada untuk pelaburan ke dalam bank Islam yang dilesenkan dengan sewajarnya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
RUU berkenaan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 8 Jun lepas.
-- BERNAMA