RUU larangan merokok dibentang di Parlimen Julai ini - Khairy

Astro Awani
Mac 26, 2022 15:30 MYT
Khairy Jamaluddin berkata, rang undang-undang berkenaan sedang dimuktamadkan oleh Peguam Negara dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi. - Gambar fail/BERNAMA
SEPANG: Rang undang-undang (RUU) larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, RUU berkenaan sedang dimuktamadkan oleh Peguam Negara dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi.
"Insya-Alla ia (RUU) akan dibentangkan pada sesi yang akan datang iaitu Julai. Ketika ini rang undang-undang tersebut sedang dimuktamadkan oleh Peguam Negara dan saya rasa dalam tempoh seminggu dua ini dah selesai.
"Saya akan bawa ke Parlimen dahulu untuk saya bentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Teknologi,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran MyCHAMPION peringkat kebangsaan di sini, pada Sabtu.
Khairy pada 17 Februari lalu mengumumkan pengenalan akta tersebut bertujuan mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama kejadian kanser dan menyumbang 22 peratus kematian akibat kanser.
Menurutnya, kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok dianggarkan RM132.7 juta.
Jika diluluskan, mereka yang berusia 17 tahun pada ketika tidak lagi dapat membeli rokok di Malaysia.
#Khairy Jamaluddin #Dewan Rakyat #larangan merokok #lahir 2005
;