RUU larangan bertukar parti dijangka berkuat kuasa minggu pertama September

Hasimi Muhamad
Julai 28, 2022 18:47 MYT
Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, dijangka berkuat kuasa pada minggu pertama September depan, kata Datuk Seri Wan Junaidi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti dijangka berkuat kuasa pada minggu pertama September depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata, ia selari dengan pembentangan di Dewan Negara untuk bacaan kali pertama yang dijadual pada 9 Ogos ini.
"KIta ada garis masa kita sendiri, di mana kita akan bawakan (bentang) di Dewan Negara pada 9 Ogos.
"Tadi ada juga pihak yang bangkit mengatakan pada 1 September (berkuat kuasa). Tetapi bukan (tidak benar), kerana (jangkaan) pada minggu pertama September," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Sebelum itu, Dewan Rakyat mencatatkan satu lagi sejarah apabila meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti, dengan majoriti melebihi dua pertiga.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika membacakan keputusan itu berkata, seramai 209 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.
#Dewan Rakyat #RUU Antilompat parti lulus #RUU Antilompat parti bentang Dewan Negara #Politik Malaysia
;