RUU langkah sementara kurangkan impak COVID-19 diluluskan DUN Sarawak

Fadilah Sulaiman
November 9, 2020 11:46 MYT
RUU yang dibentangkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu diluluskan dengan undian tertinggi ahli DUN selepas bacaan kali ketiga.
KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara untuk Mengurangkan Impak Wabak COVID-19 2020.
RUU yang dibentangkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu diluluskan dengan undian tertinggi ahli DUN selepas bacaan kali ketiga.
Terdahulu Akta COVID-19 telah diluluskan di Parlimen pada 22 Oktober 2020 namun akta itu hanya boleh diguna pakai ke atas sebahagian undang-undang Persekutuan yang turut dikuatkuasakan kepada kerajaan negeri.
Justeru, kerajaan negeri mengambil pendekatan proaktif untuk memperkenalkan RUU sementara tersebut.
“Objektif Rang Undang-Undang ini adalah untuk mengubah suai ketentuan yang relevan dalam ordinan yang termaktub dalam jadual dan untuk membantu mereka yang menghadapi kesulitan dalam menangani ketidakmampuan untuk melaksanakan tanggungjawab kontrak.
“Ia juga bagi mengatasi ketidakmampuan untuk melakukan tugas atau tanggungjawab berkanun atau untuk melakukan mesyuarat berkanun ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Uggah.
Tambah Uggah, RUU itu akan melengkapi serta memberi pelepasan sementara daripada tanggungjawab di bawah pelbagai Ordinan Negeri yang tidak dirangkumkan dalam Akta COVID-19 di peringkat Persekutuan.
Antara undang-undang negeri yang terkesan dan tidak merangkumi Akta COVID-19 ialah Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992, Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996, Ordinan Pembangunan Perumahan (Kawalan Dan Perlesenan) 2013 dan Kanun Tanah.
Setelah diluluskan RUU itu akan berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 dan akan kekal berkuat kuasa untuk tempoh dua tahun daripada tarikh diterbitkan.
Sekiranya pandemik COVID-19 berlanjutan, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhak mengambil langkah yang diperlukan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan RUU berkenaan.
#RUU Covid-19 #DUN Sarawak #impak COVID-19 #RUU diluluskan #undang-undang persekutuan #Ordinan Negeri #Douglas Uggah Embas