RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (COVID-19) 2020 tidak merangkumi semua - FMM

Bernama
Ogos 25, 2020 07:48 MYT
Soh berkata, tidak ada peruntukan yang jelas dalam undang-undang yang dicadangkan itu untuk menangani pertikaian yang tidak dapat dielakkan yang akan timbul antara pihak-pihak yang berkenaan. - Gambar fail
Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (COVID-19) 2020 yang memberikan penangguhan sementara untuk membolehkan perniagaan mengelak pertikaian undang-undang dan melindungi mereka daripada tindakan undang-undang, tidak merangkumi semua.
Rang Undang-Undang itu diluluskan di peringkat dasar selepas dibahaskan di Parlimen pada Isnin.
Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai berpendapat bahawa RUU itu, pada masa ini, tidak merangkumi semua berikutan langkah-langkah bantuan sementara hanya untuk tujuh kategori kontrak yang dijalankan bagi tempoh dari 18 Mac, 2020 hingga akhir tahun ini.
"Dengan pengecualian bekalan bahan dan peralatan pembinaan, RUU itu tidak meliputi sektor lain yang berkaitan dengan pembuatan dan rantaian bekalannya," katanya.
FMM berpendapat bahawa pemulihan perniagaan dijangka mengambil masa antara empat bulan dan dua tahun bergantung kepada sektor dan impak COVID-19 terhadap perniagaan tersebut.
"Sebarang langkah termasuk RUU COVID-19 akan membantu perniagaan pulih pada kadar yang lebih cepat dan terus meningkatkan pendapatan mereka dan mengekalkan tenaga kerja mereka; bagaimanapun, langkah-langkah dalam RUU itu untuk sektor pembuatan dan perniagaan pada amnya, tidak memenuhi permintaan yang dibuat oleh FMM.
"Misalnya, tiada peruntukan dalam undang-undang untuk pengeluaran yang sah dan penyerahan pemberitahuan untuk bantuan yang akan diberikan berikutan kelewatan atau pelanggaran disebabkan COVID-19, justeru, tidak jelas bagaimana perniagaan dapat memulakan prosiding untuk menuntut bantuan sementara di bawah undang-undang," katanya.
Selain itu, katanya, tidak ada peruntukan yang jelas dalam undang-undang yang dicadangkan itu untuk menangani pertikaian yang tidak dapat dielakkan yang akan timbul antara pihak-pihak yang berkenaan.
FMM mengemukakan maklum balasnya mengenai cadangan RUU COVID-19 kepada kerajaan pada 31 Mei lepas, di mana ia meminta langkah-langkah bantuan dalam bentuk menyeluruh dan pelbagai sektor.
Antara lain, FMM mencadangkan skop kontrak berjadual yang mungkin dapat digunakan di Malaysia diperluas berbanding skop di bawah Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) 2020 Singapura.
"Berdasarkan penguncupan dalam aktiviti pembuatan berikutan impak daripada pandemik COVID-19 terhadap kemampanan perniagaan, pekerjaan dan produktiviti, kami telah mencadangkan akta itu untuk menyediakan peruntukan bagi bantuan untuk pembuatan dan bekalan yang berkaitan serta diperluaskan untuk merangkumi perkhidmatan lain seperti perdagangan atau pengedaran dan perkhidmatan berkaitan logistik seperti pergudangan, pengangkutan dan penghantaran," katanya.
-- BERNAMA
#bantuan #bekalan bahan #COVID-19 #Dewan Rakyat #FMM #kontrak #langkah sementara #pembiayaan kerajaan #pemulihan perniagaan #pengilang #peruntukan #RUU #Soh Thian Lai #undang-undang
;