RUU KPTM mampu cegah generasi muda terjebak tabiat merokok, vape

Bernama
Februari 25, 2023 05:15 MYT
RUU KPTM yang komprehensif itu mampu menangani isu semasa kawalan tembakau dan penggunaan vape atau rokok elektronik yang ketika ini tidak sah di bawah undang-undang negara. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Komitmen kerajaan untuk membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 (KPTM) bersama Dasar Generasi Penamat (GEG) merupakan langkah tepat bagi melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, selain mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok dan vape.
Pakar Perunding Kesihatan Awam Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata RUU KPTM yang komprehensif itu mampu menangani isu semasa kawalan tembakau dan penggunaan vape atau rokok elektronik yang ketika ini tidak sah di bawah undang-undang negara.
"RUU ini amat penting dalam menyediakan peruntukan serta peraturan bagi mengawal penggunaan serta penjualan produk berkenaan termasuk dari segi keselamatan peranti, pengiklanan dan promosi.
"Saya amat mengalu-alukan persetujuan kerajaan untuk membentangkan RUU KPTM bersama pelaksanaan GEG kerana kita perlukan satu undang-undang yang kompeten serta komprehensif bagi mengawal produk yang kian menjadi kegilaan dan mendapat permintaan tinggi golongan remaja termasuk dalam kalangan kanak-kanak," katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 mengumumkan komitmen kerajaan untuk membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bersama GEG sebagai antara usaha memperkukuh kawalan tembakau dan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok dan vape.
Mengulas lanjut, Lokman Hakim yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) berkata beliau yakin dengan RUU yang komprehensif, matlamat kerajaan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok dan vape lebih mudah dicapai.
Menurutnya GEG adalah strategi berstruktur dan sistematik yang menyasarkan generasi bebas daripada pengaruh tembakau dan vape dalam satu tempoh yang munasabah.
"Adalah mustahil untuk mengharamkan terus rokok dan vape tetapi dengan GEG, iaitu bermula dengan generasi tertentu, generasi akan datang akan bebas daripada pengaruh buruk ini. Perkara ini hanya boleh dicapai dengan adanya satu RUU yang komprehensif," katanya.
Pada Julai dan Ogos lepas, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan kali pertama dan kedua, namun pembentangan RUU berkenaan tertangguh akibat pembubaran Parlimen pada 10 Okt.
RUU berkenaan antaranya bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan pada 1 Jan 2007 dan tahun seterusnya, bertujuan melahirkan Generasi Penamat bagi merokok.
Dalam pada itu, Lokman Hakim yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan, turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berkenaan penetapan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape, serta penetapan separuh hasil duti eksais itu diperuntukkan semula kepada kementerian.
Menurutnya duti eksais ini adalah selari dengan Artikel 6 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu kawalan harga melalui duti eksais mampu mengawal kebolehdapatan produk yang mengandungi tembakau dan nikotin.
Beliau juga berharap penetapan duti eksais vape dan rokok elektronik itu dapat diselaraskan dengan duti eksais rokok bertembakau selaras dengan strategi FCTC bagi mengawal kebolehdapatan produk tembakau dan bernikotin.
"Saya berharap ini hanyalah permulaan dan di masa akan datang, ia turut melibatkan duti eksais rokok," katanya.
-- BERNAMA
#RUU KPTM #generasi muda #merokok #vape
;