RUU Keselamatan Dalam Talian tidak sekat kebebasan bersuara - Azalina

Bernama
September 5, 2024 21:15 MYT
Datuk Seri Azalina Othman Said memberi jaminan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian tidak akan menyekat kebebasan bersuara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memberi jaminan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian tidak akan menyekat kebebasan bersuara.
Beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa RUU yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada bulan Oktober itu akan menidakkan demokrasi dengan memberi kuasa kepada kerajaan bagi menurunkan sebarang maklumat dari platform media sosial.
"Banyak mana sangat (maklumat) yang kerajaan boleh turunkan? Turun di (platform) A, keluar di (platform) B, C dan lain-lain. Bagaimana anda mengawal 30 juta pengguna? Kerajaan tidak boleh turunkan (maklumat), ia mustahil," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Ancaman Dalam Talian 2024 oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini hari ini.
Bagaimanapun Azalina berkata perlu ada keseimbangan dalam hak bersuara termasuk tidak melakukan sebarang kesalahan yang tertakluk di bawah undang-undang negara.
"Tetapi jika anda menonjolkan diri anda dan ekspresi anda menyebabkan kemudaratan, seperti fitnah atau fitnah bertulis, terdapat banyak undang-undang yang akan membawa anda ke jalan itu. Saya tidak boleh menghalang anda daripada bercakap, tetapi anda mesti bertanggungjawab atas apa yang anda katakan," katanya.
Sementara itu Azalina berkata undang-undang baharu itu digubal bagi mendidik masyarakat mengenai kawalan kendiri termasuk langkah-langkah yang perlu diambil apabila berhadapan dengan isu keselamatan dalam talian, sama ada di platform media sosial atau aplikasi dalam talian yang lain.
"Kita nak bina satu akta iaitu pengguna yang ada 'matikan suis'... Jadi sekarang kawalan datang daripada anda, bagaimana anda mengawal selia atau menggunakan platform (media sosial). Undang-undang baru ini bukan tentang mengawal selia, ia adalah mengenai tugas anda, apa yang diharapkan daripada anda.
"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ialah pengawal selia. Mereka mengawal selia penyedia sistem, mereka tidak boleh mengawal tingkah laku orang. Itu sebabnya kita perlu mengeluarkan undang-undang baharu mengenai keselamatan dalam talian ini," katanya.
Azalina berkata persidangan yang turut dihadiri Duta Sepanyol ke Malaysia Jose Luis Pardo hari ini merupakan fasa kedua dalam pembentukan RUU berkenaan, bagi mendapatkan pandangan pakar-pakar dari negara luar yang telah menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan dalam talian.
Oleh kerana undang-undang baharu itu agak teknikal, beliau berkata fasa ketiga melibatkan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk orang awam sebelum dibawa ke Kabinet untuk kelulusan dan dibentangkan di Parlimen.
Azalina berkata walaupun beliau akan membentangkan RUU itu, pelaksanaan dan penguatkuasaannya di bawah Kementerian Komunikasi menerusi MCMC.
-- BERNAMA
#RUU keselamatan dalam talian #kebebasan bersuara #Azalina Othman Said #media sosial
;