RUU Keselamatan Dalam Talian dibentang di Parlimen Oktober ini - Azalina
Bernama
Ogos 22, 2024 17:00 MYT
Ogos 22, 2024 17:00 MYT
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata rang undang-undang itu akan dibentangkannya manakala pelaksanaan dan penguatkuasaan adalah di bawah Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Azalina berkata demikian dalam sidang media selepas melawat pusat media Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Pada 15 Ogos lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata rang undang-undang itu diperhalusi oleh Azalina dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan MCMC.
Fahmi berkata rang undang-undang itu juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk melesenkan platform media sosial sebagai usaha mengatasi masalah yang berlaku melibatkan platform dalam talian.
Berdasarkan takwim Parlimen, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akan berlangsung dari 14 Okt hingga 12 Dis ini.
-- BERNAMA