RUU keselamatan dalam talian dibawa ke kabinet untuk pertimbangan

Bernama
November 18, 2024 16:20 MYT
M. Kulasegaran berkata usaha penggubalan rang undang-undang itu sebagai langkah untuk memastikan persekitaran dalam talian menjadi platform yang selamat kepada rakyat Malaysia terutama kanak-kanak. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Draf Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian akan dibawa kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk pertimbangan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Ringkasan AI
  • Draf Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan, bertujuan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat, terutama untuk kanak-kanak.
  • Rang undang-undang ini akan meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan untuk menurunkan kandungan yang dilaporkan sebagai memudaratkan, termasuk jenayah kewangan dalam talian.
  • Statistik menunjukkan 52,836 panggilan mangsa penipuan dengan kerugian RM302.1 juta, dan pindaan undang-undang memberi kuasa kepada polis untuk menyita wang yang disyaki terlibat dalam jenayah dalam talian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata usaha penggubalan rang undang-undang itu sebagai langkah untuk memastikan persekitaran dalam talian menjadi platform yang selamat kepada rakyat Malaysia terutama kanak-kanak.
Selain itu, beliau berkata rang undang-undang itu antara lain akan meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan untuk menurunkan mana-mana kandungan yang dilaporkan sebagai kandungan memudaratkan.
"Di bawah undang-undang baharu ini jenayah kewangan dalam talian akan dikategorikan sebagai kandungan yang serius dan memberi prioriti bermakna sekiranya sesuatu kandungan ini dilaporkan sebagai jenayah kewangan dalam talian.
"Maka penyedia platform mempunyai kewajipan untuk menurunkan kandungan tersebut secara interim sehingga siasatan lanjut dibuat terhadap kandungan itu," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai bagaimana Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian yang sedang digubal dapat membantu dalam membanteras jenayah dalam talian.
Menjawab soalan asal Lim mengenai jumlah mangsa penipuan, Kulasegaran berkata statistik Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) merekodkan sebanyak 131,036 panggilan diterima dengan 52,836 daripadanya adalah panggilan mangsa penipuan dengan jumlah kerugian RM302.1 juta.
Mengenai kuasa polis dalam menyekat sementara urus niaga perbankan, beliau berkata kerajaan telah meminda Akta 574 dan 593 yang memfokuskan kepada mewujudkan kesalahan-kesalahan jenayah dalam talian berkaitan "akaun keldai" dan peruntukan baharu yang memberikan kuasa kepada pegawai polis untuk menyita wang yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah yang disimpan dalam apa-apa institusi kewangan.
Beliau berkata pindaan kepada Akta 593 antara lain telah memasukkan peruntukan baharu Seksyen 16D untuk memberi pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Sarjan kuasa untuk menyita atau melarang urusan dalam apa-apa wang yang dipegang dan disyaki untuk dipegang dalam mana-mana instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan.
"Pindaan ini membolehkan pihak polis untuk tidak hanya menyita tetapi untuk menghalang harta tersebut dibuat urus niaga lain dengan tujuan untuk menghalang duit mangsa penipuan dalam talian dikeluarkan daripada akaun keldai dan seterusnya akan melengkapi peruntukan sedia ada, iaitu Seksyen 435 Akta 593 berkenaan kuasa polis untuk menyita harta yang disyaki telah dicuri (termasuk penipuan) yang lebih menjurus kepada harta fizikal.
"Dalam keadaan ini, pihak polis boleh menghalang sekiranya mereka mempunyai alasan munasabah untuk mengesyaki bahawa suatu kesalahan telah dilakukan, mempunyai alasan munasabah untuk mengesyaki bahawa harta telah digunakan atau bertujuan untuk digunakan bagi melakukan suatu kesalahan atau mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa harta tersebut merupakan bukti bagi suatu kesalahan," katanya.
-- BERNAMA
#penipuan dalam talian #Dewan Rakyat #RUU keselamatan dalam talian #M Kulasegaran
;