Walau bagaimanapun, apa yang harus dielakkan dan ditolak adalah sebarang usaha untuk:
● mewujudkan percambahan undang-undang untuk kesalahan yang sama atau hampir sama;
● menyamakan liabiliti kanak-kanak dengan dewasa dalam kesalahan melibatkan kemudaratan
dalam talian; dan/atau
● memperkenalkan semula undang-undang lapuk yang mengawal platform media sosial melalui
kaedah pelesenan.
Kerajaan telah mengumumkan hasratnya untuk menggubal pindaan anti buli siber terhadap Kanun Keseksaan dan Rang Undang-undang Keselamatan dalam Talian 2024 (“OSB”). Berhubung perkara berikut, ahli OSAG telah dijemput ke sesi taklimat bersama beberapa pemegang taruh yang dianjurkan oleh pejabat Menteri Undang-undang dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di bawah Jabatan Perdana Menteri (BHEUU). Dalam taklimat ini, kami menyamut baik komitmen kerajaan untuk mengendalikan isu serius yang melibatkan kepentingan awam, namun kami bimbang mengenai beberapa langkah penyelesaian yang dibentangkan. Dengan itu, OSAG menghantar Memorandum dalam dua bahagian kepada BHEUU yang mengandungi maklum balas dan cadangan kepada undang-undang yang dicadangkan kerajaan (Memorandum OSAG). Sehingga kini, kami menunggu jawapan daripada BHEUU sama ada maklum balas dan cadangan kami telah diambil kira dan dimasukkan ke dalam rang undang-undang (RUU) kerajaan. Kami juga menunggu untuk menerima versi akhir rang undang-undang kerajaan serta rundingan lanjut sebelum pembentangan di Parlimen.
Kebimbangan kami, seperti yang dinyatakan dalam Memorandum OSAG kepada kerajaan adalah
seperti berikut:
1. Kerajaan harus mengadakan sesi rundingan yang menyeluruh bersama semua pemegang taruh utama
Keseluruhan proses yang dilakukan kerajaan dalam mewujudkan undang-undang baharu dan rundingan dengan pemegang taruh adalah tergesa-gesa dan bersifat sehala. Banyak pemegang taruh yang kritikal – terutamanya yang mewakili hak kanak-kanak, wanita dan orang kelainan upaya – sama ada diabaikan atau kurang diwakili. Malah, kami tidak menyedari sama ada terdapat rundingan bermakna dengan kanak-kanak yang selalunya paling terkesan dengan bahan penderaan seksual kanak-kanak, buli siber dan mudarat lainnya.
Keperluan untuk menangani masalah keselamatan dalam talian dengan segara tidak harus menjadi alasan untuk mengetepikan proses rundingan yang menyeluruh. Hanya melalui pendekatan menyeluruh, kerajaan dapat memastikan bahawa undang-undang dapat menangani secara efektifkeperluan mereka yang terkesan sementara menyeimbangkan dan melindungi hak mereka. Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk menangguhkan pembentangan mana-mana undang-undang sehingga rundingan yang menyeluruh diadakan.
2. Kerajaan harus telus mengenai hasratnya berkenaan semua undang-undang yang ingin digubal berkaitan mudarat dalam talian
Kami tidak terlibat di dalam rundingan berkenaan mana-mana undang-undang lain yang dihasratkan kerajaan untuk digubal atau dipinda, dalam usaha menangani kandungan dalam talian yang “memudaratkan”. Pemegang taruh haruslah dimaklumkan mengenai semua perundangan dan peraturan, dan bagaimana undang-undang ini saling berhubung kait, dalam memahami kesan keseluruhan kesemua undang-undang, kewajipan dan kesalahan terhadap orang awam.
3. Buli siber tidak harus dimasukkan di dalam Kanun Keseksaan
Hasrat kerajaan untuk memasukkan kesalahan anti buli siber dalam Kanun Keseksaan akan membawa kepada pertindihan kesalahan, contohnya, kesalahan sedia ada mengenai ancaman jenayah. Sebaliknya, undang-undang buli siber haruslah ditempatkan dalam perundangan yang berasingan dan khusus di samping memenuhi tiga kriteria berikut:
(a) Membezakan secara jelas antara dewasa dan kanak-kanak dari segi liabiliti, perlindungan, akibat, dan penguatkuasaan. Kanak-kanak masih kurang matang dalam membuat keputusan dan tidak menyedari risiko kemudaratan daripada aktiviti mereka sewaktu dalam talian. Oleh itu, buli siber antara rakan sebaya oleh kanak-kanak haruslah ditangani melalui langkah-langkah yang bersifat tidak menghukum dengan menggunakan pendekatan pencegahan, pendidikan, dan restoratif. Undang-undang harus mengelakkan penjenayahan (criminalisation) terhadap kanak-kanak.
(b) Mendefinasikan kemudaratan dengan jelas. Istilah yang luas dan kabur berkaitan kandungan yang memudaratkan haruslah dielakkan kerana boleh disalah guna untuk menyekat kebebasan bersuara. Kami mencadangkan agar definasi buli siber juga termasuk ciri-ciri yang mampu menyebabkan mudarat secara fizikal, mental, emosi, atau seksual kepada orang lain.
(c) Memastikan sekatan adalah perlu dan sejajar dengan kemudaratan. Kita harus mengelakkan hukuman berat yang tidak sejajar, di mana hukuman jenayah dilihat sebagai satu-satunya kaedah untuk menebus kesalahan. Malah, langkah-langkah pencegahan dan rehabilitasi harus memenuhi standard hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
4. Penipuan dalam talian tidak harus dimasukkan dalam OSB
Kandungan berkaitan penipuan kewangan dalam talian haruslah ditangani secara berasingan kerana ia bertindih dengan jenayah siber dan keselamatan siber yang melibatkan beberapa pihak kawal selia yang berbeza serta memerlukan penguatkuasaan undang-undang yang lebih menyeluruh di ruang fizikal dan digital. Pindaan terbaharu Kanun Keseksaan iaitu seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D berkaitan penipuan kewangan dalam talian telahpun meliputi kesalahan yang serupa.
5. Istilah kandungan memudaratkan dalam OSB haruslah memenuhi standard “ujian tiga syarat”
Di Malaysia, terdapat beberapa contoh di mana undang-undang sedia ada telah disalah guna untuk mengekang kebebasan bersuara yang sah, semata-mata kerana menyinggung mereka yang berkuasa. Apabila ini berlaku, tidak ada mekanisme yang wujud untuk memastikan mereka yang menyalahgunakan undang-undang dipertanggungjawabkan.
Oleh yang demikian, OSAG menggesa kerajaan untuk memastikan bahawa undang-undang keselamatan dalam talian ini tidak boleh disalahgunakan. Apa-apa sekatan terhadap hak kebebasan bersuara termasuk bagaimana “kandungan memudaratkan” akan ditafsirkan dalam cadangan undang-undang baharu, haruslah memenuhi standard antarabangsa dan domestik iaitu “ujian tiga syarat” seperti berikut:
● Diperuntukkan oleh undang-undang: mana-mana undang-undang atau peraturan haruslah diperihalkan dengan jelas supaya setiap orang mampu untuk mengawal tingkah laku mereka dengan sewajarnya;
● Digunakan untuk tujuan yang sah, (“legitimate aim”) iaitu menghormati hak atau reputasi orang lain; atau perlindungan keselamatan negara atau keselamatan awam, atau kesihatan awam atau moral;
● Perlu dan setimpal dalam sebuah masyarakat demokratik. Prinsipnya adalah, jika langkah kurang intrusif boleh mencapai tujuan yang sama dengan yang bersifat menyekat, maka langkah kurang intrusif haruslah diguna pakai.
6. Mengehadkan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam talian untuk menghapuskan
“kandungan memudaratkan”, dan mengguna pakai pendekatan “safety by design”
Kami mencadangkan penyedia perkhidmatan dalam talian hanya diwajibkan untuk menghapuskan atau menyekat akses berkaitan dua kategori kritikal “kandungan memudaratkan”: bahan penderaan seksual kanak-kanak dan penyebaran imej intim tanpa izin (termasuk pemalsuan wajah atau deepfake yang bersifat seksual).
Kami dari OSB menggalakkan pendekatan “safety by design”, yang bertumpu kepada pencegahan secara menjangka, mengesan dan menghapuskan mudarat dalam talian sebelum berlaku. Khususnya berkenaan perlindungan kanak-kanak, pendekatan ini termasuk mengehadkan pendedahan kanak-kanak terhadap kandungan berbahaya, seperti kandungan dewasa yang eksplisit, kandungan buli siber, dan kandungan yang mencetuskan mudarat kendiri (self-harm). Selain itu, harus diwujudkan mekanisma aduan yang mesra kanak-kanak, termasuk satu perkhidmatan talian hotline yang mengambil kira umur, gender, bahasa, kelainan upaya, dan sebagainya agar mangsa kanak-kanak atau kanak-kanak yang berisiko dapat membuat aduan dengan mudah dan tanpa rasa takut.
7. Menubuhkan suruhanjaya bebas untuk menguatkuasa Akta Keselamatan dalam Talian
Untuk memastikan keabsahan sistem kawal selia kandungan dalam talian, badan pemantau haruslah
bebas daripada campur tangan politik dan komersial.
Kami menegaskan bahawa penguatkuasaan Akta Keselamatan dalam Talian tidak seharusnya diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC). Buat masa ini, MCMC kurang bebas dan mempunyai kepakaran yang terhad dalam menangani keselamatan dalam talian secara berkesan. Sebelum MCMC boleh bertindak sebagai sebuah badan kawal selia yang bebas, telus, tidak berpihak, dan mempunyai akauntabiliti, MCMC harus melalui penstrukturan semula untuk memastikan sebarang peranan dan tanggungjawab di bawah Akta Keselamatan dalam Talian yang baharu dipisahkan daripada fungsi sedia ada di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dengan itu, kami mencadangkan agar sebuah suruhanjaya yang bebas dan berbilang pemegang taruh dengan kemampuan teknikal bersesuaian ditubuhkan dan diberi autonomi untuk memantau dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Talian. Sebuah badan bebas yang melibatkan wakil daripada masyarakat sivil dan pakar akan memastikan penguatkuasaan yang adil dan telus serta menyeimbangkan keselamatan awam dengan perlindungan hak asasi manusia. Badan ini haruslah diperkasa untuk mengawal selia syarikat media sosial dan penyedia perkidmatan internet dalam memastikan hak pengguna ke atas privasi dan kebebasan bersuara terlindung.
Secara kesimpulannya, OSAG menggesa kerajaan untuk memastikan mana-mana kerangka undang-undang dan kawal selia dapat melindungi kanak-kanak dan masyarakat secara berkesan sambil memastikan bahawa ianya tidakmenyekat wacana awam, mencerobohi privasi, atau mengehad akses kepada maklumat. Keseimbangan ini adalah penting untuk mewujudkanpersekitaran digital yang selamat dan terbuka, di mana kanak-kanak dan masyarakat dilindungi dan hak asasi di bawah Perlembagaan dipelihara.
*Disediakan oleh Kumpulan Advokasi Keselamatan Dalam Talian, terdiri daripada pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan individu yang bekerja untuk kebebasan bersuara, hak kanak-kanak, kesamaan gender, dan hak wanita:
1. Centre for Independent Journalism (CIJ)
2. Justice for Sisters
3. KRYSS Network
4. Childline Foundation
5. Protect and Save the Children (PS The Children)
6. End CSEC Network Malaysia (ECPAT Malaysia)
7. CRIB Foundation (Child Rights Innovation & Betterment)
8. Voice of the Children
9. Kemban Kolektif
10. Women’s Centre for Change (WCC)
11. Monsters Among Us (MAU)
12. Sarawak Women for Women Society (SWWS)
13. Association of Women Lawyers (AWL)
14. Johor Women’s League (JEWEL)
15. Women’s Aid Organisation (WAO)
16. Sisters in Islam (SIS)
17. Sinar Project
18. Maha Balakrishnan
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.